EKONOMI > BERITA

TM GLOBAL KEMBANGKAN PUSAT DATA DI CYBERJAYA & JOHOR, PERKUKUH TRANSFORMASI DIGITAL NEGARA

11/11/2024 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- TM Global, cabang perniagaan borong TM, akan mengembangkan Pusat Data Lembah Klang (KVDC) di Cyberjaya dan Pusat Data Iskandar Puteri (IPDC) di Johor, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan pengehosan data domestik dan antarabangsa.

Dalam kenyataan pada Isnin, Naib Presiden Eksekutif TM Global Khairul Liza Ibrahim berkata KVDC dan IPDC adalah infrastruktur penting dalam ekosistem digital Malaysia, berfungsi sebagai pintu masuk antarabangsa dan untuk menyokong rangkaian 5G.

“Fasa kedua pengembangan pusat data kami ini akan menampilkan reka bentuk yang mampan, meningkatkan kapasiti kami untuk menyokong ‘hyperscaler’, pemain ‘over-the-top’ (OTT), awan dan penyedia kecerdasan buatan (AI) generasi akan datang, serta perusahaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mempertingkat perkhidmatan pengehosan data dengan pemerolehan lesen Operator berasaskan Kemudahan di Singapura baru-baru ini.

Khairul Liza berkata usaha itu membolehkan TM Global menyediakan sambungan pusat data ke pusat data yang lain dengan lancar dan selamat melalui rangkaian gentian optik domestiknya yang luas dan sistem kabel dasar laut antarabangsa.

“Ini membolehkan kami memenuhi permintaan sambungan yang semakin meningkat di rantau ini, menghubungkan pusat data dari Thailand ke Malaysia, Singapura dan Batam di Indonesia,” katanya.

TM Global menjelaskan ini merupakan fasa seterusnya dalam pelan hala tuju strategik TM untuk mengembangkan ekosistem dan meletakkan Malaysia sebagai hab digital pilihan di Asia Tenggara, sejajar dengan aspirasi untuk menjadi syarikat digital utama menjelang 2030.

Penambahbaikan itu serta kerjasama TM dengan Nxera untuk membangunkan pusat data baharu yang berkesambungan tinggi dan sedia AI, menyediakan asas untuk perkhidmatan digital seperti awan, analitik lanjutan, kecerdasan buatan dan Internet Pelbagai Benda, tambahnya.

Fasa kedua KVDC dan IPDC, yang dijadualkan untuk operasi komersial pada 2025, berupaya menampung gabungan beban teknologi maklumat (IT) sebanyak kira-kira 20MW, menurut TM Global.

Ini juga akan memenuhi piawaian “Uptime Institute Tier-III”, dan penarafan “Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) Silver” -- pensijilan bangunan hijau yang diiktiraf di peringkat global, untuk kemampanan jangka panjang,.

TM Global menawarkan set komprehensif perkhidmatan berasaskan platform, termasuk “multi-edge computing” dan “content delivery”, untuk menambah baik penyelesaian pengehosan data.

Perkhidmatan itu disesuaikan untuk mengoptimumkan prestasi dan kecekapan, memastikan rangkaian dipacu data yang mantap dan boleh dipercayai untuk pelanggan.

“Dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian yang luas, TM Global melengkapkan pembawa, perusahaan, ‘hyperscaler’, OTT dan penyedia aplikasi AI generasi akan datang untuk memacu inovasi dan penyepaduan digital yang lancar,” jelasnya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan