EKONOMI > BERITA

TAMAN SEMIKONDUKTOR KEDUA AKAN DILANCAR AWAL TAHUN DEPAN – MB SELANGOR

15/11/2024 06:36 PM

SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Selangor akan memiliki Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia keduanya yang akan dilancarkan pada awal 2025 di Cyberjaya, Sepang, kata Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata pelancaran kali kedua taman reka bentuk litar bersepadu (IC) itu adalah susulan kejayaan penubuhan taman seumpamanya di Puchong oleh Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) yang berjaya menarik penyertaan tujuh syarikat IC tempatan dan antarabangsa.

Katanya, inisiatif berkenaan terhasil daripada kerjasama erat di antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

“Bagi tujuan itu, kerajaan Selangor akan menyumbang sebanyak RM50 juta iaitu RM10 juta setahun daripada 2024 sehingga 2029 manakala kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi dianggarkan menyalurkan RM100 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata pada masa sama, Selangor Digital School (SDS) akan dinaik taraf menjadi Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) yang kampusnya akan dibangunkan dalam keluasan 7,432.24 meter persegi dan terletak di dalam taman reka bentuk IC kedua tersebut.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Pusat Inkubator AI Selangor iaitu kemudahan dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) pula akan dibangunkan dengan fasa pertamanya berkonsepkan pusat latihan teknologi.

Katanya, ia bakal dilengkapi dengan kemudahan untuk program inkubator AI serta menawarkan program pendidikan dan persijilan tertentu dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata peruntukan keseluruhan untuk semua inisiatif AI ini adalah berjumlah RM5 juta yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mempersiapkan Selangor untuk memasuki gerbang AI.

“Kerajaan negeri juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan AI lain bagi meluaskan skop teknologi itu di Selangor,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan