EKONOMI > BERITA

USAHAWAN TERUJA JADI PEMPAMER PERTAMA SERTAI PROGRAM LABUAN CONNECT!

24/11/2024 03:39 PM

LABUAN, 24 Nov (Bernama) -- Rata-rata usahawan yang menyertai Program Labuan Connect! amat teruja apabila menjadi pempamer pertama yang terlibat dalam acara itu yang julung kali diadakan di sini semalam.

Berkongsi kepada Bernama, Shirley Dorina Anak Anthony, 46, berkata beliau amat teruja berikutan program itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan malah dapat mengenali Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) secara lebih dekat.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu yang menghasilkan kek lapis, kek brownies dan tart telur berkata sebelum ini beliau telah banyak menyertai program jualan yang diadakan oleh agensi lain antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Shirley Dorina berkata sebagai suri rumah sepenuh masa, berniaga kek secara sambilan melalui program jualan mahupun dalam talian sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan keluarga.

"Saya merasa sangat bertuah kerana pertama kali program ini diadakan di sini (Labuan) dan saya jadi peserta dan paling teruja apabila mendapat tahu Bernama yang mengendalikan program ini.

"Melalui program ini juga telah memperkenalkan kepada saya bahawa Bernama adalah satu nama media yang besar dan memang saya tidak jangka dapat bekerjasama dengan Bernama buat pertama kalinya," katanya yang berasal dari Sarawak.

Mengusahakan pastri sejak lapan tahun lepas, Shirley Dorina berkata beliau mendapat tahu mengenai program itu melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Lubuk Tamiang.

Beliau berharap Program Labuan Connect! akan diteruskan pada masa akan datang dan diadakan di kawasan yang lebih besar agar lebih ramai usahawan dapat menyertainya.

Alinawati Kalik, 40, yang mengusahakan colek buah-buahan turut teruja menyertai program ini sekali gus dapat mengenali kakitangan dan fungsi Bernama yang sebelum ini hanya diketahui melalui nama sahaja.

Berasal dari Kampung Layang-Layangan, katanya program itu amat memberi manfaat kepada setiap usahawan kecil-kecilan untuk mempromosikan hasil produk masing-masing kepada pelanggan.

Mengenai perniagaan colek yang diusahakan sejak 2021 itu, Alinawati berkata jualan colek itu pada mulanya hanya memfokuskan kepada menjual buah-buahan dan pada masa sama menghasilkan kuah pencicahnya sendiri sebelum mendapat sambutan daripada pelanggan.

"Tiga pencicah pertama yang saya hasilkan sendiri iaitu colek lada pedas manis, colek Thai udang kering dan asam boi putih, selepas itu barulah menjual buah dengan pencicahnya sekali," katanya yang turut berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Menurutnya program itu perlu diadakan di kawasan yang lebih luas agar memberi impak lebih besar khususnya kepada penduduk Labuan.

Fatima Nurul Hidayu Mohd Hashim, 20, yang mengusahakan aksesori juga amat bersyukur kerana diberi peluang menjadi antara pempamer dalam program berkenaan sekali gus dapat memperkenalkan hasil krafnya yang diusahakan sejak 2021.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata produk aksesori itu dipelajarinya hanya melalui aplikasi YouTube dan Tik Tok ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

"Daripada program ini juga saya baru sahaja mendapat tahu Bernama ada kaitan dengan usahawan sebab selama ini hanya nampak nama Bernama di surat khabar sahaja," katanya yang turut berharap Program Labuan Connect! dapat diteruskan pada masa akan datang.

Labuan Connect! merupakan program perintis yang bertujuan meluaskan akses kepada teknologi digital dan memupuk inovasi untuk penduduk Labuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan