KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Northport (Malaysia) Bhd berjaya mencatat rekod baharu jumlah pengendalian tahunan untuk segmen perniagaan kontena dan kargo konvensional yang mencecah 3,328,508 unit bersamaan 20 kaki (TEU) setakat 27 Nov, 2024.
Jumlah itu mengatasi rekod sebelum ini sebanyak 3,324,364 TEU pada 2021, kata pengendali pelabuhan itu dalam kenyataan hari ini.
Northport berkata syarikat itu turut mencatat rekod baharu bagi pengendalian kargo konvensional merangkumi 11,434,814 tan berat muatan (FWT) yang mengatasi rekod tahunan 11,405,312 FWT dicapai pada 2023.
“Tahun 2024 terbukti mencabar bagi industri pelabuhan dan perkapalan, dipengaruhi oleh faktor global seperti ketegangan geopolitik di rantau Laut Merah,” katanya.
Namun, di sebalik cabaran itu, Northport memaparkan daya tahan dengan mengendalikan peningkatan singgahan kapal-kapal secara ad-hoc selain bermulanya perkhidmatan perkapalan baharu.
“Gangguan ini telah memberi kesan ketara terhadap laluan perdagangan global dan operasi pelabuhan, menyebabkan syarikat perkapalan membuat singgahan ad-hoc ke pelabuhan lain,” katanya.
Northport berkata Mac 2024 menyaksikannya mencatat rekod baharu pengendalian tertinggi untuk kargo pukal sebuah kapal melibatkan 48,853 FWT kargo keluli kapal kargo konvensional, MV Jin Chao, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 47,246 FWT daripada kapal MV Wu Yi Hai pada Mei 2022.
Selain itu, pada Mei lepas, ia menyambut kehadiran kapal kontena terbesar pernah berlabuh di terminalnya iaitu MV OOCL Japan yang berkapasiti 21,413 TEU dan mengatasi rekod pada 2013 melibatkan kapal Eugen Maersk dengan kapasiti 11,000 TEU.
“Momentum itu berterusan pada Ogos 2024 apabila Northport memecahkan rekod untuk bulan kedua berturut-turut, mencatat jumlah pengendalian kontena bulanan sebanyak 365,558 TEU yang mengatasi pencapaian pada Julai 2024.
“Pada September 2024, Northport sekali lagi meraih rekod baharu pengendalian kargo pukal terbesar daripada sebuah kapal melibatkan 52,480 FWT kargo keluli daripada kapal kargo MV African Blackbird yang mengatasi rekod 48,853 FWT pada Mac 2024,” katanya.
Northport antara gerbang pelabuhan pelbagai guna terbesar seumpamanya dalam sistem pelabuhan negara, adalah syarikat di bawah MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports) yang juga penyedia perkhidmatan logistik bersepadu terbesar di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial