EKONOMI > BERITA

MEGAH PORT SAHKAN KOMITMEN KECEKAPAN, KUKUH HUBUNGAN DENGAN LEMBAGA PELABUHAN LABUAN

08/04/2025 06:56 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 8 April (Bernama) -- Pengendali pelabuhan kontena Labuan Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) mengesahkan komitmen untuk memberikan perkhidmatan pengendalian kargo yang cekap dan berkualiti tinggi di samping bekerjasama erat dengan rakan kawal selianya Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).

Pengarah Urusan Datuk Seri Patrick Tiong berkata kepantasan dan kebolehpercayaan adalah penting dalam operasi MPM memandangkan faktor ini berperanan utama dalam membina kepercayaan dalam kalangan syarikat perkapalan antarabangsa dan menggalakkan singgahan pelabuhan yang lebih kerap ke Labuan.

“Kecekapan bukan sekadar kelebihan daya saing. Ia penting untuk meletakkan Labuan sebagai hab maritim utama di rantau ini," kata Tiong kepada Bernama selepas menerima lawatan kerja sulung Pengerusi LPA baharu dilantik Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Tiong berkata lawatan berkenaan menandakan langkah penting ke arah mengukuhkan kerjasama antara pihak berkuasa pengawal selia dan MPM dalam meningkatkan daya saing, keselamatan dan piawaian perkhidmatan pelabuhan.

Beliau turut berkongsi perkembangan penting melibatkan syarikat sekutu MPM Sailion Shipping yang telah dianugerahkan kontrak oleh pengendali kapal persiaran antarabangsa utama bagi menguruskan operasi kapal persiaran di beberapa pelabuhan di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Pelabuhan Klang dan Kota Kinabalu serta Brunei.

“Pencapaian penting ini bukan sahaja menggambarkan keyakinan syarikat pelayaran global terhadap keupayaan kami malah turut mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain logistik maritim serantau,” katanya.

Tiong berkata MPM bersama-sama Sailion Shipping, Kren Antarabangsa dan Lions Transport membentuk satu kumpulan yang pada masa ini merupakan majikan sektor swasta terbesar di Labuan yang mempunyai lebih 400 pekerja.

"Syarikat ini memainkan peranan penting dalam menyokong infrastruktur ekonomi dan logistik pulau ini," katanya.

Beliau berkata Pelabuhan Labuan yang terletak secara strategik di sepanjang laluan perkapalan utama di Laut China Selatan dilihat sebagai pintu masuk logistik dan perdagangan penting untuk Malaysia Timur dan utara Borneo.

“Usaha berterusan untuk menaik taraf perkhidmatan dan infrastruktur pelabuhan dijangka menarik lebih banyak syarikat perkapalan dan pelaburan logistik ke pulau itu.

“MPM dan LPA dijangka bekerjasama rapat dalam penambahbaikan infrastruktur masa depan, pendigitalan perkhidmatan pelabuhan dan inisiatif keselamatan dan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan