EKONOMI > BERITA

PAVILION REIT CADANG BELI BANYAN TREE, PAVILION HOTEL KL UNTUK RM480 JUTA

05/12/2024 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mengemukakan cadangan untuk membeli dua aset hospitaliti di Kuala Lumpur iaitu Banyan Tree Kuala Lumpur (BTKL) dan Pavilion Hotel KL (PHKL) pada harga RM480 ​​juta.

MTrustee Bhd yang bertindak untuk dan bagi pihak Pavilion REIT memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Lumayan Indah Sdn Bhd bagi pengambilalihan BTKL pada harga RM140 juta.

Syarikat itu turut menandatangani perjanjian dengan Harmoni Perkasa Sdn Bhd bagi mengambil alih PHKL pada harga RM340 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd yang juga Pengurus Pavilion REIT, Datuk Philip Ho berkata pembelian itu seiring dengan strategi Pavilion REIT yang menyumbang secara positif kepada keseluruhan portfolio serta pertumbuhan masa depan, di samping menjana pendapatan yang stabil dan mampan untuk pemegang unit.

“Memperoleh aset hospitaliti ikonik ini mengukuhkan komitmen kami untuk menawarkan produk premium sambil memanfaatkan peluang sinergi dengan Pavilion KL Mall,” katanya dalam satu kenyataan bersama makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, Pavilion REIT berkata pembelian ini akan dibiayai melalui gabungan hutang dan ekuiti.

Ia mencadangkan tawaran saham persendirian unit-unit baharu bagi mengumpul hasil kasar antara RM264 juta dan RM552 juta.

Sebagai alternatif, kata Pavilion REIT, ia mungkin mengeluarkan unit bernilai sehingga RM246.5 juta untuk menyelesaikan sebahagian daripada pertimbangan pembelian, katanya.

Katanya, transaksi ini dijangka meningkatkan kepelbagaian portfolio dengan mengurangkan sumbangan Pavilion KL Mall kepada nilai aset keseluruhan Pavilion REIT daripada 61.4 peratus kepada 58.0 peratus melalui pendedahan kepada sektor hospitaliti.

“Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, hotel-hotel tersebut akan disewakan semula kepada pengendali semasa untuk tempoh awal 10 tahun dengan pilihan untuk memperbaharui sehingga 20 tahun tambahan.

“Pendapatan sewa tahunan tetap akan bermula pada RM33.5 juta untuk lima tahun pertama yang menghasilkan hasil kasar tahunan sekitar 7.0 peratus.

"Pendapatan sewa ini akan tertakluk kepada pelarasan secara berperingkat setiap lima tahun,” katanya.

Struktur ini memberikan Pavilion REIT aliran pendapatan yang menguntungkan, stabil dan boleh diunjurkan sambil menawarkan potensi keuntungan melalui perjanjian sewa berubah-ubah yang terikat dengan prestasi hotel-hotel tersebut.

“Cadangan pembelian itu tertakluk kepada kelulusan oleh pemegang unit Pavilion REIT dan Bursa Malaysia Securities Bhd.

“Selepas selesai, hotel-hotel tersebut akan mewakili 5.5 peratus daripada jumlah aset yang diperbesarkan di bawah pengurusan Pavilion REIT, seterusnya mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain dominan dalam industri REIT di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan