EKONOMI > BERITA

TIADA PERUBAHAN BESAR DALAM HUBUNGAN EKONOMI AS-MALAYSIA - DUTA BESAR

05/12/2024 09:08 PM

GEORGE TOWN, 5 Dis (Bernama) -- Hubungan ekonomi Amerika Syarikat (AS)-Malaysia dijangka tidak menyaksikan perubahan besar di bawah pentadbiran baharu, kata Duta Besarnya ke Malaysia Edgard D Kagan.

Walaupun perincian sebenar dasar pentadbiran baharu AS itu tidak diketahui sehingga Januari 2025, beliau bagaimanapun yakin hubungan ekonomi itu yang terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, akan berterusan.

“Saya juga berpendapat, adalah adil untuk katakan butiran dasar itu tidak mungkin diketahui sehinggalah pentadbiran baharu mengambil alih.

“Pada masa sama, bagi saya, ianya cukup jelas dan ini terbukti benar daripada (kenyataan) kedua-dua calon (presiden AS)...ada hasrat kukuh untuk meningkatkan pekerjaan sektor pembuatan di AS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama mengenai kerjasama ekonomi antara AS dan Malaysia di Penang Institute di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Kagan berkata terdapat usaha untuk mengenal pasti campuran dasar bagi merealisasikan perkara itu.

“Bagi saya, sudah terlalu jelas untuk katakan bahawa pentadbiran baharu ini mempunyai matlamat penting berdasarkan apa yang mereka katakan sewaktu tempoh berkempen sebelum ini,” katanya.

Donald Trump yang tewas kepada Joe Biden pada pilihan raya presiden 2020, mencatat sejarah apabila dipilih memegang jawatan itu untuk penggal kedua selepas mengalahkan calon yang juga Naib Presiden Demokrat Kamala Harris dalam persaingan menguasai Rumah Putih.

Majlis angkat sumpah Trump dijadualkan berlangsung pada 20 Jan, 2025 di Washington.

Kagan berkata hubungan dagang dua hala AS-Malaysia terbukti meningkat sebanyak 29.1 peratus pada 2024 dan jika aliran ini berterusan, Malaysia berkemungkinan besar muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar AS di rantau ASEAN.

“Pertumbuhan itu tidak hanya berkaitan angka, tetapi apa yang lebih penting adalah mengukuhkan hubungan dan kerjasama selain kerjasama meluas antara firma AS dan Malaysia serta syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini serta rakan AS mereka yang menerima eksport itu,” katanya.

Beliau berkata pelaburan AS juga telah berjaya mewujudkan hampir 312,815 pekerjaan di Malaysia manakala eksport Malaysia ke AS juga meningkat sebanyak 19.1 peratus pada tahun ini.

“Apa yang kita lihat adalah eksport AS ke Malaysia memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi MADANI menerusi usaha menyediakan perniagaan berpangkalan di Malaysia dengan kemampuan teknologi dan pembuatan.

“Ini membolehkan Malaysia menghasilkan lebih banyak produk sofistikated dan maju serta meningkatkan lagi kedudukan dalam rantaian nilai,” katanya.

Mengulas import barangan modal dari AS, Kagan berkata pertumbuhan utama import pada 2024 adalah komponen pesawat, peralatan aeroangkasa, semikonduktor dan pembuatan wafer serta litar elektronik dan bersepadu.

Beliau turut mengetengahkan hubungan ekonomi AS-Malaysia yang kukuh merangkumi pelaburan langsung asing bernilai lebih RM150 bilion sejak 2021.

AS merupakan pasaran kedua terbesar eksport bagi Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan