EKONOMI > BERITA

MAYBANK IB NAIKKAN UNJURAN TIV 2025 SEBANYAK LIMA PERATUS KEPADA 790,000 UNIT

05/02/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk tahun ini sebanyak lima peratus kepada 790,000 unit, meningkat daripada unjuran sebelumnya iaitu 750,000 unit.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini berkata unjuran yang disemak semula itu mencerminkan pertumbuhan pasaran besar-besaran yang mampan, diimbangi oleh kelemahan dalam segmen premium/mewah selain wujud pemangkin positif daripada penangguhan nilai pasaran terbuka (OMV) yang lain.

Ia berkata jualan pasaran besar-besaran terutamanya daripada Perodua dan beberapa model Proton, dijangka mendapat manfaat daripada perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi serta dipacu oleh kenaikan gaji minimum pada Februari 2025 dan kenaikan gaji kakitangan awam pada Disember 2024.

“Segmen pasaran premium besar-besaran (kenderaan berharga RM100,000-RM200,000) akan berdepan tekanan margin daripada persaingan yang semakin sengit tetapi masih dijangka memberi sumbangan kepada pertumbuhan TIV secara keseluruhan.

“Sementara itu, segmen premium/mewah berkemungkinan bergelut disebabkan persaingan daripada model baharu yang mampu milik dan menarik termasuk kenderaan elektrik (EV) selain potensi pemotongan subsidi petrol serta cukai barangan bernilai tinggi yang boleh mengimbangi pertumbuhan dalam segmen lain,” katanya.

Maybank IB juga mengunjurkan penggunaan EV bateri/EV hibrid masing-masing akan mencapai tiga dan lima peratus pada 2025 berbanding dua dan empat peratus pada tahun lepas.

Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelancaran model baharu dan penetapan harga yang agresif terutamanya daripada jenama kenderaan siap dipasang (CBU) yang berlumba-lumba membuat jualan sebelum insentif EV CBU tamat tempoh.

Bagaimanapun, setakat Oktober 2024, hanya 3,354 pengecas EV dipasang, jauh di bawah sasaran 10,000 unit untuk 2025.

"Untuk mencapai matlamat ini, sebanyak 554 pengecas baharu akan dipasang setiap bulan berbanding purata 2024 iaitu hanya 111 sebulan,” katanya.

Bank itu menjelaskan duti pelaksanaan OMV yang menentukan nilai bercukai bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dengan mengambil kira bukan sahaja kos pengeluaran tetapi juga perbelanjaan berkaitan jualan seperti yuran reka bentuk dan pelesenan.

“Jika dilaksanakan, harga kereta CKD boleh meningkat sebanyak 10 hingga 30 peratus, menjadikan kereta pemasangan tempatan jauh lebih mahal.

"Kami percaya ini boleh menjejaskan jualan TIV tempatan, terutamanya jika ia berlaku serentak dengan cabaran lain seperti rasionalisasi subsidi petrol dan cukai barangan bernilai tinggi yang berpotensi menjejaskan sentimen pengguna serta permintaan pasaran," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan