EKONOMI > BERITA

HUBUNGAN MALAYSIA-ASEAN DENGAN CHINA PERLU TERUS DIBINA BERASASKAN HORMAT, KEPERCAYAAN BERSAMA

17/02/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Hubungan Malaysia dan ASEAN dengan China perlu terus dibina berlandaskan hormat dan kepercayaan bersama, terutama dalam memacu industri bernilai tinggi, memupuk inovasi serta merangsang pembangunan mampan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata ASEAN perlu lebih proaktif dan menerima persaingan kuasa besar, peralihan ekonomi dan peluang kemajuan teknologi termasuk melalui hubungan dengan China.

“Ini sangat penting memandangkan pada 2023, jumlah perdagangan China dan ASEAN telah mencecah hampir US$1 trilion (US$1=RM4.42) iaitu kira-kira US$900 bilion, menjadikan China sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dan sumber pelaburan langsung asing ketiga terbesar ASEAN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan China: Asia Tenggara 2025 di sini, Isnin.

Beliau berkata hubungan rapat ASEAN-China adalah sangat penting, di samping berlandaskan hubungan kukuh antara Malaysia dan China, yang menyambut ulang tahun ke-50 tahun lepas.

Tengku Zafrul juga berharap persefahaman dalam kalangan peserta utama di ASEAN dan China terus semakin mendalam menerusi Persidangan China: Asia Tenggara 2025.

Beliau berkata Hong Kong kekal sebagai rakan dagang utama ASEAN dan Malaysia.

“ASEAN dan China mempunyai satu perjanjian perdagangan bebas (FTA), begitu juga Hong Kong. Kita mahu melihat perkara ini berkembang, terutama dengan dinamik peralihan dalam rantai bekalan dan industri tertentu. Kita yakin Hong Kong boleh meneruskan peranannya dalam mengurangkan perubahan ini,” katanya.

Mengenai kesan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas import keluli dan aluminium, Tengku Zafrul berkata pada masa ini Malaysia melaksanakan moratorium bagi kilang baharu atau pengembangan sektor keluli dan aluminium.

“Kita berpandangan sudah ada lebihan kapasiti dalam negara ini. Oleh itu, walau apapun yang berlaku di AS, kita bukanlah pengeksport utama keluli dan aluminium.

“Eksport terbesar kita ke AS adalah elektrik dan elektronik, manakala eksport keluli dan aluminium sebenarnya sangat kecil. Jadi, saya menjangkakan tiada sebarang kesan,” katanya.

Mengenai jawatan Duta Malaysia ke AS yang akan datang, beliau enggan memberi respons, sebaliknya berkata ‘Tidak’.

“Saya serahkan kepada sesiapa sahaja yang dilantik. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia untuk menyokong, kita memerlukan seseorang untuk melaksanakan peranan sebagai duta di sana,” katanya.

Sejak minggu lepas, media melaporkan cadangan daripada pihak tertentu supaya Tengku Zafrul dilantik sebagai Duta Malaysia ke AS selepas beliau menamatkan penggalnya sebagai Senator pada Disember.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia menumpukan kepada kalangan syarikat yang telah meningkatkan kekompleksan ekonomi masing-masing.

“Kita mahu syarikat yang mengutamakan kemampanan. Bagi saya, asal syarikat ini tidak penting selagi mereka mencipta kesan limpahan yang betul, menumpukan kepada sektor yang tepat, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Kita akan menyokong pelaburan yang selaras dengan matlamat ini,” katanya.

Mengenai lawatan ke AS, Tengku Zafrul berkata MITI dan agensinya mempunyai pejabat di pelbagai lokasi di  AS, melakukan libat urus dengan kalangan syarikat yang telah beroperasi di Malaysia serta syarikat yang berminat untuk melabur di negara ini.

“Dari segi masa, ia akan diadakan pada suku kedua tahun ini, memandangkan ketika itulah kita mengadakan lawatan tahunan kita ke willayah timur dan barat AS,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan