Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Langkah penyusunan semula dan penyahsenaraian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menandakan detik perubahan yang penting bagi industri penerbangan negara, menawarkan peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan di seluruh lapangan terbang, kata penganalisis.
Langkah ini dipercayai akan membuka peluang untuk memodenkan infrastruktur lapangan terbang dan sistem pengurusan Malaysia, menangani kebimbangan sejak sekian lama berkenaan penyelenggaraan, kecekapan dan daya saing.
Penganalisis dan Perunding Bebas Sobie Aviation yang beribu pejabat di Singapura Brendan Sobie berkata meskipun terdapat banyak bidang berpotensi bagi penambaikan di lapangan terbang Malaysia, perkembangan ini akan mengambil masa, dan langkah nyahsenarai ini menandakan bermulanya perjalanan yang panjang.
"Dari masa ke masa, diharap kita akan menyaksikan peningkatan kecekapan dan tahap perkhidmatan yang memberi manfaat kepada syarikat penerbangan dan penumpang," katanya kepada Bernama hari ini.
Perjalanan bermula ke arah infrastruktur dan pengurusan lebih baik
Menurut Sobie, penyusunan semula ini menawarkan peluang untuk membawakan pakar antarabangsa bagi meneraju amalan terbaik dan penambahbaikan dalam struktur MAHB.
Selain itu, pengenalan sistem yang moden dapat menambah baik operasi lapangan terbang secara keseluruhan dalam jangka panjang.
Beliau turut berpandangan bahawa banyak pihak melihat lapangan terbang di Malaysia tidak diuruskan dengan profesional.
“Infrastruktur ada tetapi ia sering kali tidak diselenggara dengan baik,” katanya.
Sobie berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khususnya, dilihat dalam keadaan kurang baik dan boleh menerima manfaat daripada pengurusan lapangan terbang antarabangsa.
“Banyak pihak berkepentingan yakin bahawa struktur semasanya adalah lemah dan lapangan terbang di Malaysia termasuk KLIA berdepan masalah sistem yang telah usang.
“Saya berpandangan bahawa apa yang diinginkan oleh semua adalah lapangan terbang yang diuruskan dengan lebih baik di samping mengekalkan struktur caj yang adil bagi memastikan perjalanan udara kekal sebagai mampu milik,” katanya.
Sobie berkata, menerusi penyusunan semula yang sedang dilaksanakan, lebih banyak rancangan pembangunan yang kukuh dijangka dilaksanakan untuk semua lapangan terbang utama dengan sebahagian daripadanya akan beroperasi melebihi kapasiti tidak lama lagi.
Menurutnya penyusunan semula ini dijangka mendorong pertumbuhan MAHB menerusi inisiatif yang akan menambah baik pengalaman penumpang, meningkatkan sambungan syarikat penerbangan, menaik taraf infrastruktur lapangan terbang dan memanfaatkan ekonomi Malaysia.
MAHB telah dinyah senarai daripada Bursa Malaysia hari ini selepas kejayaan langkah penyusunan semula oleh konsortium Gateway Development Alliance (GDA), menandakan berakhirnya perjalanan korporat selama 25 tahun bagi pengendali lapangan terbang itu sebagai syarikat tersenarai yang mula berada di papan dagangan Bursa pada 30 Nov 1999 dengan harga RM2.50.
Ketika disenaraikan pada 1999, MAHB menjadi syarikat pengurusan lapangan terbang tersenarai pertama di Asia dan yang keenam di dunia berbuat demikian.
Saham MAHB didagangkan kali terakhir pada RM10.90 sesaham, dengan 134,900 saham bertukar tangan.
Potensi perkukuh kedudukan MAHB di peringkat serantau
Pakar ekonomi (penerbangan dan aeroangkasa) Institut Teknologi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur Malaysia Profesor Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian menekankan kelebihan dari sudut kewangan berikutan penyusunan semula MAHB serta potensi lapangan terbang Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan serantau mereka.
“Penyahsenaraian itu merupakan amalan korporat biasa untuk memberikan manfaat bagi pemindahan pemilikan MAHB.
“Langkah ini mungkin akan meningkatkan status kewangan organisasi memandangkan konsortium GDA mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk melaksanakan pelbagai projek bagi evolusi yang diperlukan untuk lapangan terbang di Malaysia,” katanya.
Mohd Harridon percaya bahawa transformasi ini penting bagi Malaysia untuk bersaing dengan hab penerbangan lain di rantau ini.
“Agenda transformasi ini diperlukan untuk Malaysia menjadi hab utama bagi perdagangan, perniagaan, logistik, dan pengangkutan serta bersaing dengan Lapangan Terbang Changi Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai,” katanya.
Mohd Harridon berkata peningkatan dalam perdagangan akan mempertingkat kecergasan ekonomi negara dan merangsang pertumbuhan untuk rakyat.
Keperluan penilaian operasi segera
Beliau juga menekankan kepentingan penilaian operasi segera untuk mengoptimumkan kecekapan lapangan terbang dan pengurusan kos.
“Selain itu, dalam tempoh operasi yang singkat, adalah penting untuk analisis komprehensif dilaksanakan bagi melancarkan operasi harian lapangan terbang bagi mengurangkan sebarang pembaziran yang tidak perlu,” katanya.
Beliau berpandangan langkah ini penting untuk mengurangkan sebarang isu kewangan dan menyediakan peluang yang lebih baik dalam membuat keputusan kewangan.
Sementara itu, Pengasas Endau Analytics dan penganalisis penerbangan Shukor Yusof berkata penyusunan semula ini berlaku dalam persekitaran ketidakstabilan geopolitik yang semakin meningkat dan kebimbangan terhadap inflasi global yang semakin buruk.
Beliau berkata, faktor-faktor tersebut mungkin boleh menggagalkan rancangan transformasi.
“Diharapkan pihak yang menyokong langkah ini mempunyai ‘Pelan B’ sekiranya keadaan tidak berjalan seperti yang diharapkan,” katanya.
Pemerhati industri bagaimanapun tetap berharap penyusunan semula ini akan membawa kepada peningkatan kecekapan, kemudahan yang lebih baik, dan kedudukan yang lebih kompetitif dalam sektor penerbangan global apabila Malaysia memulakan aspek baharu dalam pengurusan operasi lapangan terbangnya.
MAHB kini menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik, dan 17 STOLport (lapangan terbang berlepas dan mendarat pendek) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul di Turkiye.
Pada 1999, MAHB menjadi konsesi bagi pengurusan KLIA di Sepang untuk tempoh 50 tahun, bermula pada 5 Mei 1998. Ia juga mengurus dan mengendalikan lima lapangan terbang antarabangsa, 15 lapangan terbang domestik, dan 17 STOLport di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial