EKONOMI > BERITA

AIRBORNEO AKAN MUKTAMAD PENJENAMAAN TERMASUK ADAKAN PERTANDINGAN CIPTA LOGO SECARA TERBUKA

04/03/2025 03:27 PM

LUNDU (Sarawak), 4 Mac (Bernama) -- AirBorneo, syarikat penerbangan milik negeri Sarawak sedang memuktamadkan penjenamaannya, termasuk mengadakan pertandingan mencipta logo yang akan dibuka kepada orang ramai.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata syarikat penerbangan itu secara rasmi akan menggunakan namanya setelah proses peralihan selesai sepenuhnya.

"Peralihan MASwings ke AirBorneo dijangka mengambil masa dan pengumuman rasmi akan dibuat setelah segala-galanya dimuktamadkan sepenuhnya.

"Tidak lama lagi, kami akan mengadakan pertemuan dengan Malaysian Aviation Group dan pengurusan MASwings untuk membincangkan langkah-langkah selanjutnya dalam pembangunan syarikat penerbangan ini," katanya semasa sidang media selepas melawat Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu di sini, hari ini.

Lee berkata ruang penyelenggaraan untuk MASwings masih terletak di Kota Kinabalu, dengan perbincangan masih berlangsung berhubung pelan mereka.

Sementara itu, beliau berkata pertandingan mencipta logo yang akan dilancarkan tidak lama lagi, memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada identiti syarikat penerbangan negeri itu.

"Unit Komunikasi Awam Sarawak akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pertandingan ini dan mempelawa orang ramai untuk menyumbang idea bagi logo itu," kata Lim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan