EKONOMI > BERITA

CILTM SABAH SOKONG PERTUMBUHAN LABUAN SEBAGAI HAB MARITIM SERANTAU

20/03/2025 01:14 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 20 Mac (Bernama) -- Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILTM) Cawangan Sabah telah diberi tanggungjawab oleh CILT Malaysia untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan industri logistik dan pengangkutan di Labuan.

Pengerusi CILTM Sabah Daniel Doughty berkata tanggungjawab itu termasuk memberikan pandangan industri dan cadangan dasar untuk membantu mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai hab logistik dan pengangkutan perkapalan serantau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib di Wisma Perbadanan Labuan pada Rabu.

“Sejajar dengan wawasan CILT Malaysia yang lebih luas, CILTM Sabah komited untuk menyokong pembangunan ekonomi Labuan dan memastikan sektor logistik dan pengangkutan tempatan kekal kompetitif, berdaya tahan, dan berpandangan ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Doughty yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC), menekankan pencapaian LCC yang lalu, projek-projek yang sedang dijalankan, dan rancangan masa depannya, sambil menegaskan komitmennya untuk memupuk kerjasama yang boleh memberi impak.

"Perbincangan tertumpu kepada pengukuhan kerjasama antara pihak berkepentingan untuk memajukan kepentingan ahli-ahli LCC dan menyumbang kepada daya tahan ekonomi Labuan," katanya.

Doughty berkata salah satu inisiatif utama yang dibincangkan adalah penyertaan dalam Persidangan dan Pameran Minyak, Gas & Tenaga Sabah (SOGCE) 2025, pada Julai ini.

“Menyedari kepentingan strategik sektor minyak dan gas, LCC dan Perbadanan Labuan harus meneroka peluang untuk melibatkan diri dengan pemain-pemain industri dan meletakkan Labuan sebagai hab utama bagi minyak, gas, dan perkhidmatan berkaitan,” katanya.

Mesyuarat itu juga mencadangkan Forum Maritim dan Logistik serta lawatan lapangan di Labuan pada Ogos ini, bertujuan menghimpunkan pemimpin-pemimpin industri, penggubal dasar, dan ahli akademik untuk membincangkan trend baru muncul, pembangunan infrastruktur, dan peluang pelaburan dalam sektor logistik, pengangkutan perkapalan, serta minyak dan gas.

“Satu lagi isu utama yang dibincangkan adalah keperluan untuk mengadakan kerjasama yang lebih kukuh antara industri dan institusi pendidikan. Inisiatif-inisiatif masa depan akan merangkumi perkongsian dalam penyelidikan, program pembangunan bakat, dan aktiviti penglibatan industri bagi membina tenaga kerja mahir yang sesuai dengan ekonomi Labuan yang sedang berkembang.

"Dengan inisiatif-inisiatif ini yang sedang dilaksanakan, LCC dan CILTM Sabah mengesahkan semula komitmen mereka untuk memupuk kerjasama yang mempercepatkan pertumbuhan mampan dan mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai hab ekonomi yang berkembang maju," katanya.

Melangkah ke hadapan, LCC dan CILTM Sabah akan bekerjasama rapat dengan Perbadanan Labuan, pemain industri, agensi kerajaan yang berkaitan, dan institusi akademik untuk memastikan Labuan kekal sebagai pusat ekonomi yang kompetitif dan dinamik untuk Malaysia dan seterusnya, tambah Doughty.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan