EKONOMI > BERITA

MOSTI, AGENSI PEMANGKIN PENEMUAN SAINS DAN TEKNOLOGI BERTARAF DUNIA -- TPM FADILLAH

25/11/2025 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta semua agensi relevan sewajarnya meningkatkan pembiayaan penyelidikan strategik untuk memangkin kejayaan penemuan saintifik dan teknologi bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tindakan sedemikian akan mempercepat penerimagunaan serta pengkomersialan teknologi termaju selain menarik penyelidik global, institusi saintifik dan bakat berimpak tinggi ke Malaysia serta ke rantau ASEAN secara meluas.

“Malaysia sedia menjadi gerbang, tapak ujian dan pelancaran serta hab yang berkembang maju bagi membolehkan kalangan inovator meningkatkan penyelesaian transformatif bagi rantau ini,” kata beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di majlis perasmian Sidang Kemuncak Kerjasama dan Pembangunan Teknologi ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Fadillah juga menyifatkan ASEAN sedang memasuki apa yang digelar pelbagai pihak sebagai “dekad penentuan.”

“Kita berada di persimpangan anjakan dinamik global, kemajuan tekonologi yang pesat serta landskap ekonomi yang pesat berubah.

“Dalam persekitaran sedemikian, elemen-elemen seperti perpaduan, daya tahan serta inovasi yang dikongsi bersama bukan lagi menjadi pilihan tetapi satu keperluan,” katanya.

Beliau berkata bersandarkan penduduk yang berjumlah lebih 680 juta orang, ekonomi digital negara yang memberangsangkan serta generasi muda yang berpandangan jauh juga membolehkan potensi kebangkitan ASEAN sebagai pusat inovasi, teknologi dan kemajuan lestari global.

“Teknologi tidak lagi sekadar menjadi pengupaya, tetapi juga asas daya tahan, kemakmuran dan keterjaminan serantau.

“Malaysia juga amat yakin bahawa sains, teknologi dan inovasi perlu dijadikan sebagai tonggak strategi jangka panjang serantau bagi ASEAN,” katanya.

Selain itu, beliau menyifatkan tema sidang kemuncak “Uniting Innovation, Connecting the Future” (Menyatukan Inovasi, Menghubungkan Masa Depan) sebagai paparan aspirasi besar yang dikongsi bersama serta merentasi rantau itu.

“Sidang kemuncak ini berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama saintifik rentas sempadan, penyelarasan dasar, rangkaian pelaburan, pemindahan teknologi serta ekosistem inovasi serantau,” kata Fadillah.

Beliau berkata menerusi penglibatan kukuh MOSTI, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan majlis diplomatik serta rakan-rakan lain membantu ASEAN mengambil langkah bermakna ke arah mewujudkan masa depan lebih bersepadu, tangkas serta berteraskan inovasi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan