KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Tiada pesawat Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang digantung operasi akibat masalah teknikal ketika ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Ketika menjelaskan perkara itu, beliau berkata pesawat yang tidak beroperasi sebaliknya dalam proses penyelenggaraan berkala yang dilaksanakan mengikut keperluan keselamatan serta piawaian industri penerbangan.
"Malaysia Aviation Group (MAG) merupakan sebuah entiti perniagaan yang beroperasi secara komersial yang mana segala keputusan berkaitan operasi, termasuk aspek penyelenggaraan dan pembaikan pesawat adalah keputusan korporat yang dibuat berdasarkan keperluan operasi syarikat.
"Oleh yang demikian, kos pembaikan dan penyelenggaraan adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAG sebagai sebahagian daripada kos operasi dan pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak menanggung sebarang kos berkaitan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
MAG merupakan syarikat induk bagi Malaysia Airlines.
Beliau menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai jumlah pesawat syarikat penerbangan itu yang tidak beroperasi akibat kerosakan serta kos ditanggung oleh pihak kementerian.
Dalam pada itu, Hasbi berkata sebanyak 4,113 orang jurutera pesawat berkelayakan telah diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada masa ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,318 orang memegang lesen kategori B1 (mekanikal), 879 orang memegang lesen kategori B2 (avionik), 51 orang memegang kedua-dua lesen B1 dan B2 dan 865 orang memegang lesen kategori A (juruteknik).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial