KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disaran membuat pelaburan langsung domestik (DDI) sekitar RM120 bilion bagi tempoh lima tahun untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penekanan dan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi kerajaan bukan semata-mata keuntungan tetapi pendekatan yang disebut “GEAR-uP”.
“‘GEAR-uP’ iaitu enam GLIC dan seluruh kekuatan GLIC melabur sekitar RM120 bilion dalam masa lima tahun (RM25 bilion bagi tahun ini) yang akan menjana pertumbuhan ekonomi selain daripada belanjawan yang telah diluluskan.
“Ini merupakan belanjawan pembangunan yang tertinggi berbanding tahun-tahun yang lalu,” kata beliau semasa waktu pertanyaan lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai fokus terkini KPI syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan GLIC bagi memastikan sumbangan dividen dapat mengukuhkan anggaran pendapatan kerajaan bagi 2025.
Anwar berkata selain RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam di bawah program pelaburan sedia ada, pelaburan tersebut turut tertumpu kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
Sektor itu seperti peralihan tenaga, pembuatan termaju terutama dalam bidang semikonduktor, melibatkan pelaburan dalam semua peringkat kitaran hayat syarikat iaitu daripada syarikat pemula niaga, modal teroka hingga syarikat pertengahan dan menyokong penyenaraian syarikat-syarikat ini, kata beliau.
Beliau berkata Malaysia sudah mula merekodkan momentum positif dalam pelaburan yang disalurkan ke dalam sektor HGHV umpamanya Khazanah Nasional Bhd melalui Dana Impak yang memperuntukkan RM1 bilion untuk tiga inisiatif utama di bawah Jelawang Capital, pelaburan semikonduktor dan syarikat peringkat pertengahan.
Momentum itu juga didorong oleh pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di bawah Belanjawan 2025 yang merangkumi Dana Perintis sebanyak RM1 bilion dan Dana Pemacu berjumlah RM6 bilion, serta GLIC lain seperti Pemodalan Nasional Bhd (PNB) yang memperkukuh “relay-race” pelaburan bumiputera, membangunkan taman perindustrian strategik seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), kata beliau.
Anwar berkata prestasi GLIC seperti Khazanah, KWAP dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2024 amat meyakinkan dan memberangsangkan, didorong prestasi GLC dan landskap pelaburan Malaysia yang lebih meluas.
“Prestasi itu mencerminkan kejayaan Ekonomi MADANI yang memacu pertumbuhan ekonomi kukuh melalui pembaharuan ekonomi yang meyakinkan pelabur dan seterusnya menyumbang kepada prestasi pasaran modal 2024.
“Penekanan reformasi MADANI kepada tatakelola juga diberi keutamaan dalam GLIC bagi memastikan pengurusan pelaburan yang bertanggungjawab dan berkesan,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar meminta GLIC dan GLC menjadi contoh tanda aras bagi pengurusan yang cekap dan amanah yang dapat mengelakkan pembaziran.
“Amalan-amalan pembaziran harus dihentikan kerana kita memegang amanah dan dana rakyat.
“Sukacita saya maklumkan GLIC dan GLC mematuhi arahan dengan keras dan sebab itu prestasinya jauh meningkat lebih baik dengan kos pengurusan berkurangan, mengelakkan ketirisan dan mencatatkan keuntungan yang lebih baik,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial