SEREMBAN, 23 Mac (Bernama) -- Lebih 500 bas ekspres diperiksa dalam Pra-Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang diadakan bermula 17 Mac hingga hari ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pemeriksaan dilaksanakan terhadap kenderaan perkhidmatan awam itu melibatkan aspek teknikal di terminal dan depoh bas di seluruh negara.
Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil langkah proaktif melaksanakan operasi itu sebelum Operasi HRA 2025 yang akan bermula esok hingga 8 April ini.
"Pra-Operasi HRA ini dilakukan dengan memeriksa kenderaan perkhidmatan awam (bas) iaitu melibatkan aspek teknikal di terminal dan depoh bas di seluruh negara antaranya pemeriksaan enjin, tayar dan sistem brek.
"Menerusi operasi ini, JPJ telah mengesan 11 bas didapati tidak roadworthy (tidak selamat di jalan raya) dan notis larangan penggunaan bas dikeluarkan serta-merta.
"JPJ juga mengeluarkan slip pemeriksaan bagi kenderaan yang mematuhi standard dan piawaian di samping aktiviti penyelenggaraan telah dilaksanakan dengan baik," katanya kepada pemberita pada Majlis Santuni MADANI dan majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat Taman Kampung Panchor di sini.
Pada program hari ini Loke turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Masjid Al-Munawwarah Kariah Panchor Jaya, Kampung Panchor.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang musim perayaan sebanyak 2,500 anggota JPJ akan bertugas terutamanya untuk ditempatkan di kawasan hotspot kemalangan.
"Kereta peronda JPJ akan berada di lebuh raya di banyak hotspot, jadi pemandu akan lebih berhati-hati dan (persepsi akan ditangkap) kaedah ini memang berkesan, dengan anggota penguat kuasa perlu berada di lapangan," katanya.
Beliau berkata antara kesalahan utama ialah menggunakan telefon bimbit, tidak menggunakan tali pinggang keledar, memotong barisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memandu melebihi had laju, memotong barisan memandu kenderaan berat di lorong laju dan kenderaan melebihi muatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial