EKONOMI > BERITA

SC TERIMA 996 ADUAN BERKAITAN PENGENDALI DAX TIDAK BERDAFTAR SEJAK 2019

20/03/2025 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima sejumlah 996 aduan dan pertanyaan mengenai pengendali DAX (pertukaran aset digital) yang tidak berdaftar selepas penguatkuasaan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 (Perintah Preskripsi) pada 15 Januari 2019.

SC berkata aduan tersebut melibatkan kerugian atau pertikaian kewangan daripada pelabur yang melabur melalui pengendali DAX tidak berdaftar, yang kebanyakannya menyasarkan rakyat Malaysia yang tidak responsif terhadap emel atau panggilan telefon dibuat oleh pengadu untuk mendapatkan penjelasan.

Oleh itu, rakyat Malaysia yang melabur dengan pengendali ini mungkin tidak mempunyai perlindungan atau bantuan yang diperlukan sekiranya berlaku sebarang pertikaian, katanya.

"Terdapat pengendali DAX yang mungkin berlesen atau dikawal selia oleh pengawal selia asing tetapi didapati membuat penawaran kepada pelabur Malaysia.

“Terdapat keadaan platform DAX adalah sepenuhnya palsu, tanpa sebarang aktiviti dagangan sebenar berlaku,” kata SC menerusi Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini.

SC turut berkata para pelabur diperdaya untuk mempercayai bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam dagangan yang sah, sedangkan wang mereka sebenarnya diseleweng oleh penipu, katanya.

Platform ini lazimnya tidak memberikan maklumat mengenai lokasi mereka atau sebarang sokongan daripada syarikat yang sah, sekali gus meletakkan mereka di luar jangkauan kawal selia SC dan menyukarkan usaha menjejaki mereka, kata SC.

Oleh itu, SC berkata pihaknya menggunakan pendekatan pelbagai serampang untuk menangani kebimbangan ini, antaranya melalui tindakan penguatkuasaan, makluman pelabur, penyekatan laman web dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, arahan penggantungan dan pemberhentian, serta inisiatif pendidikan pelabur.

Setakat ini, SC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap empat DAX yang tidak sah sejak beberapa tahun lepas, dengan yang terkini pada November 2024 terhadap syarikat ByBit Technology Ltd.

"Pengendali DAX tergolong antara yang terbesar mengikut volum dagangan dan mempunyai kehadiran global yang signifikan, tetapi didapati mencari pelabur Malaysia.

"Keputusan sama ada tindakan penguatkuasaan perlu dimulakan sentiasa berdasarkan ketersediaan bukti, hasil yang ingin dicapai, dan sama ada terdapat cara alternatif yang boleh digunakan untuk mencapai hasil yang sama," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan