KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Penolong Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Niam Seet Wei dinamakan sebagai penerima anugerah biasiswa Program Residensi Khazanah Nasional Bhd (KRP) Wolfson Press Fellowship 2025.
Niam akan mengikuti program selama 10 minggu bermula pada 7 April, 2025, di Wolfson College, University of Cambridge, United Kingdom.
Selain beliau, turut terpilih adalah Pengarang Berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ameerul Eiman Azizi dan Naib Presiden (Komunikasi Korporat) Khazanah Reena Raj.
Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata adalah diharapkan peserta tahun ini dapat melibatkan diri sepenuhnya dalam program berkenaan selain memperoleh maklumat bernilai daripada persekitaran serta rakan-rakan lain, terutama dengan latar belakang yang turut membawa pelbagai pengalaman unik.
“Persekitaran global semasa dibentuk oleh pelbagai cabaran, termasuk ketegangan geopolitik, isu politik dan perubahan iklim yang memberi kesan pada skala global.
“Sehubungan itu, pemahaman isu-isu ini adalah penting dan diharapkan apabila lebih ramai menyertai program ini, ia dapat menggalakkan perbualan lebih matang serta bernas dalam media," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan anugerah itu di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.
Mengulas selanjutnya, Amirul Feisal berkata sejajar komitmen Khazanah terhadap pembinaan kapasiti dalam pelbagai bidang, program ini berperanan penting dalam meningkatkan kemahiran dalam komunikasi dan media.
“Syabas kepada peserta dan selamat maju jaya dalam mengikuti perjalanan menarik ini,” katanya.
Dalam pada itu, Niam yang juga anak kelahiran dan dibesarkan di Sabak Bernam, Selangor, berkongsi keterujaan serta rasa gembira terpilih menerima anugerah berprestij yang membolehkannya melakukan projek penyelidikan di University of Cambridge.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan juga Editor Eksekutif Saraswathi Muniappan yang mencadangkan saya mengikuti program ini.
“Tidak ketinggalan, terima kasih kepada Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz yang menyokong projek saya," katanya.
Sepanjang tempoh 10 minggu di Cambridge, Niam akan memberi tumpuan kepada penyelidikan bertajuk “How Media Reports on Electric Vehicle (EV)-Related Issues in Malaysia" (Bagaimana Media Melaporkan Isu Berkaitan Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia).
“Saya berharap hasil kajian ini akan menyumbang kepada pembangunan dasar Malaysia, terutamanya berkaitan pembangunan EV," katanya.
Sementara itu, Saraswathi menyuarakan penghargaan kepada Khazanah di atas pemilihan Niam sebagai antara tiga fellow tahun ini dan berharap beliau meraih pengalaman bermakna, bertemu rakan-rakan selain peluang mewujudkan jaringan bagi melonjakkan kerjaya dalam industri media.
“Saya yakin penyelidikan Niam ke atas EV ini akan membantu Bernama dalam memastikan laporan industri itu secara lebih eksklusif,” katanya.
Dalam pada itu, Ameerul Eiman akan menumpukan penyelidikan bertajuk “Public Acceptance of Artificial Intelligence (AI) in Fact-Checking,” (Penerimaan Awam Mengenai Kecerdasan Buatan (AI) dalam Menyemak Fakta) manakala Reena akan meneroka komunikasi krisis dalam era media sosial.
Menurut Reena, beliau akan meneliti bagaimana kitaran berita 24 jam di media sosial dapat mempengaruhi kesihatan mental kakitangan komunikasi korporat.
“Saya percaya ini merupakan isu amat relevan bagi kebanyakan pengamal bidang komunikasi hari ini," katanya.
Program residensi berprestij yang diwujudkan sejak 1982 itu telah disertai lebih 350 wartawan dari 47 negara.
Sejak 2013, Khazanah telah bekerjasama dengan Wolfson College dalam penajaan dua wartawan dan seorang profesional komunikasi korporat Malaysia setiap tahun.
Setakat ini, program berkenaan telah melahirkan 30 felow yang menyumbang secara ketara terhadap misi memajukan Malaysia dengan memperkasakan komuniti media di negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial