KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata tarif yang dikurangkan untuk pengangkutan dan regasifikasi dapat meningkatkan daya saing pemain gas, melonjakkan pendapatan eksport dan merangsang aktiviti ekonomi sepanjang tahun.
Bank pelaburan berkata tarif baharu ini dijangka membawa kepada margin jualan yang lebih baik dan/atau kos yang lebih rendah untuk pengguna.
"Selain itu, tarif yang dikurangkan boleh membuka sumber serta peluang untuk pelaburan dalam projek penyahkarbonan dan projek tenaga boleh baharu, selaras dengan matlamat kemampanan Malaysia," tambahnya.
Pada Khamis, Petronas Gas Bhd (PGB) mengumumkan bahawa kerajaan, melalui Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan cadangan pelarasan tarifnya yang berkenaan untuk 2025 di bawah tempoh pengawalseliaan (RP2).
Tarif yang diselaraskan untuk fasiliti regasifikasi serta pengangkutan gas syarikat itu, berkuatkuasa 1 Jan -31 Dis 2025 terpakai ke atas penggunaan gas semenanjung, terminal regasifikasi Sungai udang, Melaka dan terminal regasifikasi Pengerang, Johor.
Tarif baharu itu juga meliputi Tarif Mampatan PGB membabitkan bekalan gas tekanan tinggi ke Singapura.
MIDF Amanah berkata risiko tarif yang diturunkan ini masih menjadi kesan kepada pendapatan PGB untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025, seterusnya mempengaruhi kos dalam infrastruktur dan penyelenggaraan.
"Ini seterusnya dapat merangkumi potensi pelarasan kepada perbelanjaan lain, yang kemudiannya mempengaruhi kontrak jangka panjang antara PGB dan pelanggan tetapnya.
"Bagaimanapun, memandangkan kepakaran dan pengalaman PGB di lapangan serta pelan kawalan kos Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kami percaya risiko kewangan itu dapat dikurangkan," katanya.
Pada waktu rehat makan tengah hari, harga saham PGB menokok lapan sen kepada RM17.02 dengan 152,100 saham diniagakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial