KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pembaharuan struktur dan dasar ekonomi mesti diutamakan berbanding pergantungan berlebihan terhadap rizab antarabangsa untuk menangani turun naik mata wang.
BNM dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata seperti kebanyakan mata wang, pergerakan ringgit akan didorong oleh turun naik jangka pendek serta asas ekonomi jangka panjang.
Bank pusat berkata pilihan tindak balas dasar untuk mengekalkan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing akan bergantung pada pendorong asas pergerakan kadar pertukaran.
"Lazimnya, instrumen dasar pelbagai hala digunakan untuk meningkatkan keberkesanan dasar dan mengelakkan mana-mana satu alat menjadi terlalu terbeban," katanya.
Bank pusat itu berkata intervensi BNM membantu untuk mengurangkan volatiliti jangka pendek berlebihan yang diakibatkan oleh kejutan global.
"Bagaimanapun, kebergantungan pada rizab antarabangsa untuk bertindak balas terhadap pendorong jangka Panjang yang berpunca daripada faktor asas mungkin bukan strategi yang sesuai”, katanya.
Oleh itu katanya pembaharuan struktur dan dasar mesti diutamakan sama ada melalui perkembangan pasaran kewangan untuk membangunkan daya tahan terhadap kesan negatif volatiliti ringgit atau menerusi dasar yang memperkukuh produktiviti dan daya saing bagi menambah baik prospek pertumbuhan ekonomi dan kemampanan fiskal.
BNM berkata pihaknya akan terus mengadakan kerjasama erat dengan kerajaan dalam pelbagai aspek untuk mengekalkan keyakinan terhadap ringgit dan menggalakkan keadaan yang teratur bagi isi rumah dan perniagaan dalam mengurus dedahan pertukaran asing mereka.
Hal ini termasuk menyokong pelaksanaan pembaharuan struktur yang berkesan, mengadakan libat urus dengan komuniti pelaburan global untuk mengetengahkan kesan positif semua pembaharuan dan memanfaatkan instrument dasarnya bagi memastikan keadaan kewangan domestik yang menggalakkan untuk membolehkan pelaksanaan pembaharuan.
Justeru katanya usaha kolektif yang merangkumi pembuat dasar, perniagaan dan masyarakat adalah sangat penting untuk merealisasikan sepenuhnya potensi pembaharuan sedemikian.
"Pendekatan bersepadu ini merupakan faktor utama untuk memastikan pertumbuhan yang mampan serta memastikan daya tahan jangka panjang dan penambahan nilai ringgit," kata BNM.
-- BERNAMA
NSF NSF ZK
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial