KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) – Langkah meningkatkan bilangan katil hospital mampu milik serta menggalakkan pengembangan hospital bukan berasaskan keuntungan, dapat membantu mengurangkan kos insurans dan perubatan serta pemegang polisi terbabit.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2024 hari ini, berkata usaha lain termasuk tindakan hospital swasta mempamerkan harga ubat-ubatan serta penerbitan julat harga untuk perkhidmatan kesihatan lazim yang membolehkan pemegang polisi membuat perbandingan kos kesihatan berbeza selain berupaya menggalakkan daya saing lebih baik.
"Inisiatif hospital bukan berasaskan keuntungan ini boleh dilaksanakan melalui program Rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menawarkan perkhidmatan 'ekonomi premium' di hospital awam terpilih bagi perkhidmatan pesakit luar, jagaan harian dan pesakit dalaman.
"Ini juga berperanan sebagai penanda aras harga," kata bank pusat itu menerusi artikel bertajuk “Menjamin Akses yang Berterusan untuk Perlindungan Insurans/ Takaful Perubatan dan Kesihatan” dalam laporan tahunan itu.
Bank pusat itu berkata inisiatif itu akan menawarkan lebih banyak pilihan dari segi kos kepada pemegang polisi insurans/takaful perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang tertekan untuk terus mendapat akses insurans perubatan.
Atas alasan itu juga, BNM bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama termasuk Kementerian Kewangan, KKM, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO), hospital dan klinik swasta serta kumpulan pengguna bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif terbabit bagi mengurangkan kadar kenaikan inflasi perubatan.
Setakat 2023, terdapat 7.7 juta individu di Malaysia yang mempunyai perlindungan MHIT manakala secara keseluruhan, Malaysia membelanjakan RM84.2 bilion untuk penjagaan kesihatan pada tahun lepas.
Daripada angka keseluruhan itu, jumlah yang dibiayai oleh MHIT telah meningkat enam kali sepanjang tempoh dua dekad lepas daripada RM960 juta pada 2003 kepada RM6.75 bilion pada 2023.
Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 menunjukkan bahawa sebanyak 15.6 peratus daripada individu dewasa di Malaysia menghidap diabetes, 29.2 peratus menghidap hipertensi dan 33.3 peratus mempunyai tahap kolesterol tinggi.
Hospital Swasta Pamer Harga Ubat, Kos Rawatan
Dalam usaha menyokong ketelusan harga yang lebih meluas, laporan itu berkata hospital swasta boleh mempamerkan harga ubat-ubatan serta penerbitan julat harga untuk perkhidmatan kesihatan lazim.
“Penerbitan ini membolehkan pemegang polisi dan ITO membandingkan kos antara penyedia penjagaan kesihatan yang berbeza dan pada masa yang sama, menggalakkan daya saing yang lebih baik,” katanya.
Menurut BNM, antara teras strategik adalah pelaksanaan mekanisme pembayaran Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) untuk menggantikan mekanisme sedia ada berdasarkan fi atau yuran bagi perkhidmatan yang digunakan di hospital.
Di bawah DRG, pesakit dikategorikan mengikut kumpulan berdasarkan diagnosis dan keperluan perubatan mereka dengan penyesuaian mengikut tahap keparahan dan keadaan komorbiditi.
“Setiap kumpulan kemudiannya akan dikaitkan dengan jumlah pembayaran yang telah ditetapkan. Model ini memberikan insentif dari segi peningkatan kecekapan dan hasil rawatan kesihatan, sambil memberikan jangkaan harga yang lebih baik,” katanya.
Saling Kendali Rekod Perubatan Elektronik
Bank pusat itu berkata strategi lain bagi pengurangan kos, termasuk meningkatkan aspek saling kendali rekod perubatan elektronik (EMR) di seluruh hospital, sekali gus dapat menangani isu pengasingan rekod kesihatan di klinik dan hospital yang berbeza pada masa ini.
Data perubatan pesakit yang lebih mudah diakses dan dipindahkan akan menambah baik kualiti dan kesinambungan penjagaan, mengurangkan keperluan mengulang ujian dan prosedur diagnostik selain dapat meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos.
Pembaharuan Kesihatan Bendung Inflasi Perubatan
Mengulas mengenai beberapa langkah interim pada Disember 2024 untuk mengurangkan beban kewangan pemegang polisi insurans, BNM menegaskan langkah-langkah ini bersifat sementara bagi memberi masa bagi pelaksanaan pembaharuan kesihatan yang lebih meluas dan penting untuk membendung inflasi perubatan.
“Langkah-langkah interim ini tidak akan dapat dikekalkan jika inflasi perubatan yang tinggi terus berlarutan.
“Oleh itu, pelaksanaan pembaharuan kesihatan yang lebih holistik dan berkesan oleh pihak berkepentingan utama adalah amat penting dalam menangani inflasi perubatan,” kata BNM.
-– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial