EKONOMI > BERITA

NS2.0 DIJANGKA DILANCAR PADA SUKU KEEMPAT 2025, TINGKAT KESEJAHTERAAN KEWANGAN

24/03/2025 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan kedua (NS2.0) dijangka dilancarkan pada suku keempat 2025 bertujuan mencapai matlamat utama dalam mempertingkatkan tahap literasi dan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia, berasaskan pencapaian NS1.0.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini menjelaskan dapatan daripada Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan (FCI) 2024 akan digunakan untuk membentuk fasa berikutnya dalam NS2.0.

“Isu seperti kesan pendigitalan terhadap tingkah laku pengguna, perubahan dalam landskap kewangan dan ekonomi, serta masyarakat menua akan menjadi panduan dalam menetapkan keutamaan dan perancangan, menerusi kolaborasi dengan rakan kerjasama dan pihak berkepentingan yang relevan melalui Jaringan Pendidikan Kewangan,” menurutnya.

Kaji Selidik FCI merupakan kaji selidik merentas seksyen yang dijalankan BNM setiap tiga tahun untuk  menilai tahap keupayaan kewangan rakyat Malaysia dengan mengukur tahap pengetahuan, tingkah laku dan sikap kewangan bagi mendapatkan skor gabungan yang dikenali sebagai Indeks Celik dan Keupayaan Kewangan Malaysia (MYFLIC).

Skop Kaji Selidik FCI 2024 yang dijalankan pada suku ketiga 2024 telah diperluaskan bagi meliputi penilaian terhadap kesejahteraan kewangan dan celik kewangan digital.

BNM memaklumkan kaji selidik 2024 mendapati secara umumnya, tahap celik kewangan rakyat Malaysia tidak banyak berubah sejak 2021, dengan Indeks MYFLIC mencatatkan skor 59.1 berbanding 59.0 pada 2021.

Pengetahuan kewangan bertambah baik kepada 62.9 pada 2024 daripada 60.2 pada 2021 dalam kebanyakan subkomponen, terutamanya kesedaran terhadap produk kewangan dan pemahaman konsep kewangan seperti kepelbagaian, inflasi serta risiko dan pulangan, tambah bank pusat itu.

“Secara keseluruhannya sejak pelaksanaan NS1.0, rakyat Malaysia kini lebih sedar dan lebih maklum akan urusan kewangan mereka, namun peningkatan kos sara hidup digabungkan dengan aliran pendapatan yang tidak menentu, dan kadar pendigitalan yang pesat memberikan cabaran baharu.

“Dengan perkembangan media sosial dan platform maklumat yang lebih mudah diakses, kesedaran tentang produk kewangan terus meningkat,” menurut BNM.

Oleh yang demikian, bank pusat menjelaskan hal ini membuka peluang kepada penyedia perkhidmatan kewangan dan pembuat dasar untuk memperhebatkan usaha meningkatkan celik kewangan dengan impak yang lebih besar pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan