KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Keadaan pasaran domestik yang teratur akan terus mampan berikutan pasaran kewangan Malaysia yang kukuh, selain mudah tunai dan sistem perbankan yang teguh, sekali gus menyediakan penampan yang mencukupi untuk menghadapi ketidaktentuan global.
Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Kedua Tahun 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata sejak Tinjauan Kestabilan Kewangan yang terakhir pada Oktober 2024, bank-bank pusat utama telah meneruskan kitaran pelonggaran dasar monetari masing-masing berikutan inflasi global yang terus berkurang.
“Meskipun keadaan kewangan pada peringkat global yang lebih longgar pada mulanya memberikan sokongan kepada pasaran kewangan global, ketidaktentuan pasaran meningkat menjelang akhir tahun 2024.
“Peningkatan ketidaktentuan ini dipacu oleh ketidakpastian dasar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS), jangkaan pelabur terhadap kelonggaran dasar monetari di AS yang lebih perlahan dan peningkatan ketegangan geopolitik di rantau utama,” katanya.
Bank pusat itu berkata faktor-faktor ini dijangka terus menyumbang kepada peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global pada 2025.
Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, BNM berkata Malaysia tidak terkecuali daripada kesan perkembangan luaran ini.
“Tahap tekanan pasaran domestik, seperti yang diukur oleh Indeks Tekanan Pasaran Kewangan (FMSI), telah meningkat pada separuh kedua tahun 2024 berbanding dengan separuh pertama tahun 2024 akibat daripada rintangan luaran ini.
“Terkini pada 2025, FMSI meningkat sedikit berikutan peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing (FX) dan ekuiti.
“Situasi ini didorong oleh kebimbangan pasaran terhadap kemungkinan meningkatnya ketegangan perdagangan global dan potensi berlakunya perubahan besar dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) dari China,” katanya.
Bagaimanapun, BNM berkata kesan limpahan terhadap kestabilan kewangan domestik dijangka terus dibendung secara keseluruhan.
Mengenai ringgit, BNM berkata secara keseluruhannya bagi tahun 2024, ringgit menambah nilai sebanyak 2.7 peratus kepada 4.4722 berbanding dengan dolar AS, didorong terutamanya oleh pelaksanaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.
Selain itu, ia turut didorong oleh penghantaran balik dan penukaran pendapatan dalam mata wang asing oleh entiti pemastautin, libat urus dengan pengeksport dan pengimport serta prospek ekonomi Malaysia yang positif dan pembaharuan dasar.
BNM berkata pasaran kewangan mungkin mengalami episod ketidakstabilan yang disebabkan oleh ketidaktentuan dasar global, prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan dan pembaharuan struktur dalam negeri, disokong oleh inisiatif yang berterusan untuk menggalakkan aliran akan terus memberikan sokongan yang berkekalan kepada ringgit.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial