EKONOMI > BERITA

US PIZZA SASAR BUKA 42 CAWANGAN BAHARU, PERKUKUH OPERASI PASARAN TEMPATAN

24/03/2025 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Rangkaian piza tempatan terbesar di Malaysia, US Pizza menyasarkan pembukaan 42 cawangan baharu di seluruh negara pada tahun ini bagi mengukuhkan kehadirannya di pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Operasi US Pizza Deric Yeo berkata rangkaian restoran makanan segera itu turut merancang memperkukuh kehadirannya di pasaran Indonesia dan Singapura.

“Setakat suku pertama tahun ini, syarikat telah berjaya membuka lima hingga enam cawangan baharu di sekitar Lembah Klang dengan 15 lagi dalam peringkat perancangan dan perjanjian sewaan.

“Sementara itu, di Singapura pula, kita telah membuka kira-kira tiga cawangan dalam tempoh dua bulan tahun ini dan menyasarkan untuk membuka lapan lagi, manakala dua cawangan di pasaran Indonesia akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama pada program Agihan Berbuka Puasa kepada kira-kira 200 pertugas di Wisma Bernama di sini hari ini.

Turut hadir, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Haikal Mohd Isa dan Pengurus Kanan Jualan Penyiaran Bernama Mohd Farhan Mustafa Kamal.

US Pizza yang menjadi jenama kegemaran rakyat Malaysia selama lebih dua dekad mempunyai lebih 70 cawangan di seluruh negara, Singapura dan Indonesia.

Dalam pada itu, Yeo berkata US Pizza yang memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memberi kelebihan kepada rangkaian restoran makanan segera itu untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara terutamanya di negara Timur Tengah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan