KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Southern Score Builders Bhd yang tersenarai di Pasaran ACE mencadangkan pemindahan penyenaraian serta keseluruhan modal saham terbitannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Syarikat tersebut berkata, pemindahan yang dicadangkan melibatkan keseluruhan modal saham terbitannya sebanyak RM373.50 juta yang terdiri daripada 2.27 bilion saham biasa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pemindahan yang dicadangkan akan menjadi bukti pertumbuhan, keuntungan dan pengukuhan kewangan kumpulan.
Ia juga akan meningkatkan profil korporat, kredibiliti dan reputasinya selain memberikan pengiktirafan dan pengikut yang lebih besar dalam kalangan pelabur institusi.
“Ini seterusnya dijangka meningkatkan mudah tunai dan kebolehpasaran saham Southern Score Builders,” kata syarikat tersebut.
Southern Score berkata, sejak melengkapkan pengambilalihan berbalik pada 9 Nov, 2022, permodalan pasaran kumpulan itu meningkat daripada RM534.06 juta pada 28 Feb, 2023, dua tahun sebelum tarikh boleh praktik terkini (LPD) kepada RM1.09 bilion pada LPD.
Ini sekali gus mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun yang kukuh sebanyak 42.92 peratus.
Di bawah proses pemindahan yang dipercepatkan Suruhanjaya Sekuriti yang baharu, syarikat tersenarai di Pasaran ACE mesti mengekalkan permodalan pasaran harian sekurang-kurangnya RM1 bilion sejak enam bulan lepas dan memenuhi syarat keuntungan Pasaran Utama.
Southern Score berkata pemindahan yang dicadangkan itu juga dijangka memberikan keyakinan yang lebih besar kepada rakan perniagaan, pekerja, pemegang saham dan pemberi pinjaman/jurubank kerana profilnya yang dipertingkatkan sebagai syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama.
“Kecuali ada sebarang perkara yang tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan diperoleh, lembaga pengarah menjangkakan cadangan itu akan diselesaikan dalam separuh kedua 2025,” katanya.
Affin Hwang Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama syarikat untuk cadangan pemindahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial