EKONOMI > BERITA

PERBELANJAAN KESIHATAN MALAYSIA 4.0 PERATUS DARIPADA KDNK, KEKURANGAN DANA SATU CABARAN

27/03/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kekurangan dana dalam sektor kesihatan awam Malaysia kekal sebagai cabaran utama, dengan perbelanjaan penjagaan kesihatan kira-kira empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re).

Penerbitan penyelidikan tahunan Malaysian Re, “Malaysian Insurance Highlights” (MIH) 2025 mendapati kadar tersebut adalah lebih rendah daripada purata enam hingga tujuh peratus dalam kalangan ekonomi setara.

“Sementara itu, sektor swasta menghadapi halangannya sendiri, termasuk kepentingan tidak sejajar antara pemegang polisi, syarikat insurans dan penyedia penjagaan kesihatan, menyebabkan kebimbangan terhadap penggunaan berlebihan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pengebilan yang melambung tinggi,” tambah Malaysian Re dalam kenyataan hari ini mengenai MIH 2025.

Malaysian Re ialah anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, yang menaja jamin semua kelas perniagaan insurans semula am, serta perniagaan takaful semula am dan keluarga melalui bahagian takaful semulanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata terdapat keperluan mendesak untuk memperkenalkan peruntukan penjagaan kesihatan baharu dan strategi pembiayaan di Malaysia bagi membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan mampan.

“Industri insurans berperanan penting dalam transformasi ini dan mesti terus menginovasi produknya untuk menangani keperluan pengguna di samping mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

“Kerjasama dengan pihak kawal selia dan berkepentingan penjagaan kesihatan adalah penting dalam mengekalkan kemajuan dan momentum yang diperlukan untuk mengatasi cabaran ini dengan berkesan,” katanya.

Edisi keenam MIH itu menyediakan analisis mendalam mengenai cabaran yang berkaitan dengan pembiayaan penjagaan kesihatan dalam dwisistem kesihatan Malaysia iaitu awam dan swasta, meneroka aliran terkini dalam insurans perubatan dan kesihatan serta strategi untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik.

MIH 2025 turut mengetengahkan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan Malaysia, termasuk inflasi perubatan, penduduk menua dan peningkatan prevalens penyakit tidak berjangkit.

Hasil dapatan MIH 2025 diperoleh daripada temu bual berstruktur dan pandangan daripada pakar industri, menawarkan perspektif berharga mengenai kekompleksan pembiayaan penjagaan kesihatan dan peluang yang tersedia untuk pembaharuan.

Ahmad Noor Azhari berkata akses kepada penjagaan kesihatan adalah hak asas yang menyokong kesejahteraan, pendapatan dan kestabilan ekonomi.

Beliau berkata di Malaysia, peningkatan kos penjagaan kesihatan, ditambah dengan pendanaan sektor awam yang tidak mencukupi dan kepentingan yang tidak sejajar dalam sektor swasta, menimbulkan cabaran besar untuk mewujudkan rangka kerja pembiayaan penjagaan kesihatan yang mampan.

“Menyedari kepentingan isu ini dan impaknya ke atas syarikat insurans dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, Malaysian Re telah memilih untuk memberi tumpuan kepada topik ini dalam MIH 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan