EKONOMI > BERITA

TREND PERBELANJAAN RAYA: PENGGUNA LEBIH BERHATI-HATI DI SEBALIK EKONOMI, PASARAN BURUH YANG STABIL

30/03/2025 11:44 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) -- Ketidaktentuan ekonomi semasa memberi kesan terhadap pola perbelanjaan rakyat Malaysia dalam musim perayaan, dengan pengguna cenderung lebih berhati-hati meskipun keadaan ekonomi negara berada dalam landasan yang baik.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan stabil pada kadar 5.1 peratus dengan pasaran buruh berada dalam keadaan guna tenaga penuh.

"Ini bermaksud ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan menerima pendapatan tetap. Kerajaan juga melaksanakan pelbagai dasar seperti kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 serta pemberian bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang ditingkatkan peruntukannya," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan perbelanjaan pengguna atau perbelanjaan swasta masih di bawah paras purata.

Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah menyasarkan pertumbuhan perbelanjaan swasta pada kadar 5.6 peratus tahun ini, sedikit meningkat daripada 5.1 peratus tahun lalu tetapi masih di bawah purata 7.1 peratus yang direkodkan dalam tempoh 2011 hingga 2019 sebelum pandemik COVID-19.

“Meskipun terdapat peningkatan, pengguna dilihat lebih berhati-hati dalam berbelanja, mungkin disebabkan sentimen ketidaktentuan serta kos sara hidup yang kekal tinggi,” katanya.

Beliau turut berkongsi pemerhatian bahawa ramai pengunjung bazar Ramadan sekadar melihat-lihat tanpa melakukan pembelian yang signifikan, mencerminkan trend pengurangan urus niaga berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

Duit Raya Kekal Tradisi Walaupun Berdepan Inflasi

Bercakap mengenai pemberian duit raya dalam konteks ekonomi semasa, Mohd Afzanizam berkata kadar inflasi purata dari tahun 1985 hingga kini adalah sekitar 2.5 peratus setahun.

"Sebagai contoh, RM1 pada tahun 1985 kini bersamaan sekitar RM2.60 jika dikira berdasarkan kadar inflasi tersebut. Maka, sebagai panduan, pemberian duit raya boleh berada dalam julat RM3 hingga RM5...tetapi kalau saudara mara atau anak buah mungkin kita boleh menggandakan nilai tersebut bergantung kepada kemampuan individu.

“Bagi saya pemberian duit raya adalah tradisi yang boleh juga memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk berpuasa penuh dan menyemarakkan semangat Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata penggunaan wang tunai untuk pemberian duit raya semakin berkurangan disebabkan peningkatan penggunaan e-dompet dan peralihan ke arah masyarakat tanpa tunai.

"Sesetengah bank telah memperkenalkan aplikasi khas untuk pemberian duit raya secara digital sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai," katanya.

Namun, beliau berpandangan bahawa sambutan perayaan seperti Aidilfitri wajar diberikan sedikit kelonggaran dalam penggunaan wang tunai bagi mengekalkan elemen tradisional pemberian duit raya.

 

Fit banknotes: Inisiatif BNM untuk Wang Kertas Lebih Mampan

Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa bekalan wang kertas baharu pada musim perayaan kali ini adalah terhad selaras dengan usaha menyokong kelestarian dalam sistem kewangan negara.

Sebagai gantinya, BNM membekalkan wang kertas yang sesuai untuk edaran, dikenali sebagai Fit banknotes, bagi memenuhi permintaan masyarakat, termasuk semasa musim perayaan.

"BNM hanya akan mengeluarkan wang kertas baharu bagi menampung permintaan yang melebihi bekalan Fit banknotes yang sedia ada," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Fit banknotes merujuk kepada wang kertas terpakai yang telah diproses mengikut garis panduan dan standard yang ditetapkan bagi memastikan hanya wang kertas tulen, bersih dan sesuai diedarkan untuk kegunaan harian serta sebagai duit raya atau angpau.

Menurut BNM, proses penyaringan wang kertas ini boleh diibaratkan seperti pemeriksaan kesihatan bagi manusia, di mana setiap wang kertas diuji untuk memastikan ia masih dalam keadaan baik sebelum dikembalikan ke dalam sistem edaran.

 “Selain menjamin kebersihan dan kualiti wang kertas, penggunaan Fit banknotes juga membantu menjimatkan tenaga yang setara dengan penggunaan elektrik bagi 2,393 rumah selama setahun,” kata BNM.

 

Pertumbuhan Ekonomi pada Suku Kedua di jangka Meningkat

Pemberian duit raya semasa Aidilfitri bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi juga mempunyai kesan ketara terhadap sektor peruncitan dan perbelanjaan domestic, menurut Mohd Afzanizam.

Beliau berkata berdasarkan data sejak 2017 hingga tahun lalu, perayaan Aidilfitri yang berlaku dalam suku kedua tahun tersebut menunjukkan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna yang merupakan komponen utama dalam pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar negara.

“Dalam tempoh lapan tahun itu, enam daripadanya mencatatkan percepatan dalam pertumbuhan perbelanjaan pengguna pada suku kedua. Ini menunjukkan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan keagamaan tetapi pemangkin kepada aktiviti ekonomi, dengan impak yang meluas ke pelbagai sektor.

“Open house (rumah terbuka), baik secara peribadi mahupun korporat, menjadi punca kepada peningkatan perbelanjaan dalam industri katering, pembekalan makanan dan logistik acara.

“Selain itu, terdapat kesan limpahan melibatkan pembelian pakaian baharu, kelengkapan rumah, perbelanjaan perjalanan serta hiburan,semuanya menyumbang kepada lonjakan aktiviti ekonomi dalam tempoh tersebut,” katanya.

 

Simpan Duit Raya Anak Secara Bijak

Bagi ibu bapa yang ingin menyimpan duit raya anak-anak, beliau menyarankan agar simpanan dibuat dalam institusi kewangan diiktiraf seperti Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB), atau Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

"Malah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini membenarkan pembukaan akaun untuk individu seawal usia 14 tahun, membolehkan ibu bapa menyimpan secara sukarela bagi masa depan anak-anak mereka," katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pembelian emas sebagai alternatif pelaburan jangka panjang yang stabil terutama bagi kanak-kanak perempuan.

"Harga emas terus menunjukkan peningkatan dan dengan ketidaktentuan ekonomi global, pelaburan dalam bentuk emas boleh menjadi langkah bijak bagi mereka yang berhasrat menyimpan dalam bentuk aset lebih stabil," katanya.

Bagi pasangan suami isteri, Muhammad Ilyas Jamaludin dan Noor Adillah binti Mohd Hamid, 39 tahun, mereka berkongsi pandangan mengenai tradisi pemberian duit raya dalam keadaan ekonomi semasa.

Menurut pasangan ini yang bekerja di sektor swasta, jumlah pemberian duit raya tahun ini dikurangkan sedikit namun tradisi perayaan masih lagi diteruskan.

"Secara tak langsung...ya, bajet dipotong.. pemberian duit raya kini lebih terhad kepada anak saudara mara dan anak-anak rakan terdekat.

“Dalam era digital, kami juga turut memberi duit raya secara tunai berbanding e-wallet. "Guna QR memang lebih mudah tapi suasananya kurang terasa. Tambahan pula, mereka yang berniaga sampul duit raya pun terjejas bila ramai beralih kepada e-wallet," kata pasangan itu.

Mereka juga menekankan kepentingan mendidik anak-anak untuk menghargai pemberian, tanpa mengira berapa jumlahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan