EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERLU BERSIAP SEDIA HADAPI KETIDAKTENTUAN EKONOMI GLOBAL - PM ANWAR

07/04/2025 10:50 AM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Malaysia perlu meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global termasuk kesan daripada kejatuhan pasaran di Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan kerugian sehingga trilion dolar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun asas ekonomi negara kekal kukuh dengan angka yang meyakinkan, terdapat beberapa perkembangan luar jangka yang perlu diberi perhatian segera termasuk isu tarif dan hubungan perdagangan dengan AS.

“(Nilai) eksport kita ke AS (adalah) tinggi. Eksport semikonduktor sahaja mungkin mencecah US$100 bilion, iaitu 65 peratus daripada keseluruhan pengeluaran semikonduktor negara. Hubungan perdagangan dan pelaburan dengan AS masih antara yang tertinggi.

“Oleh itu, kita perlu mengambil kira segala kemungkinan kerana kita tidak mahu sebarang dasar ekonomi yang akhirnya akan mendera rakyat, menjejaskan pekerjaan dan kehidupan mereka,” kata beliau pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar turut memaklumkan satu pertemuan akan diadakan pada Khamis ini yang akan diselaraskan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama rakan sejawatannya (menteri perdagangan dari negara-negara ASEAN) untuk merangka dan menyelaraskan pendirian bersama.

Pada 2 April 2025, Trump mengumumkan satu siri tarif baharu yang secara jelas menyasarkan beberapa negara ASEAN. Langkah itu secara langsung menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington di rantau Asia Tenggara.

Negara anggota wilayah Indo-China ASEAN paling teruk terjejas akibat daripada tarif tersebut, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), (Vietnam 46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia, masing-masing pada 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.

Berdasarkan lembaran fakta daripada Rumah Putih bertarikh 2 April, tarif 10 peratus ke atas semua negara akan berkuat kuasa pada 5 April 2025.

Perdana Menteri turut menekankan pentingnya seluruh jentera kerajaan meningkatkan kecekapan, memperkukuh kesungguhan kerja dan mengamalkan penjimatan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

“Kemerosotan bursa, saham, komoditi dan perdagangan di AS merupakan antara yang paling parah dalam sejarah mutakhir.

“Ada laporan menyatakan kerugian sehingga US$4 trilion dalam pasaran. Sudah pasti, ia memberi kesan kepada keputusan mereka dan kita harap ia dapat dirunding dengan cara yang lebih baik,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan barisan kepimpinan penjawat awam supaya tidak memandang remeh terhadap agenda reformasi yang dibawa kerajaan.

“Masih ada kecuaian, ketirisan, laporan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pimpinan di jabatan dan kementerian perlu berwaspada kerana hasrat kita untuk menyelamatkan bangsa dan memastikan negara terus terangkat kedudukannya,” kata beliau.

Hadir sama pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan