EKONOMI > BERITA

TARIF AS DIJANGKA BERI IMPAK LANGSUNG KE ATAS KDNK MALAYSIA -- TENGKU ZAFRUL

07/04/2025 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi impak langsung kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, sekali gus mencetuskan cabaran terhadap pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini serta kemungkinan pada tahun-tahun mendatang.

Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pada masa ini, kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan.

“(Faktor seperti) pebelanjaan isi rumah kita berdaya tahan; pelaburan domestik negara kukuh; hasil pelancongan kukuh dan pelan-pelan induk negara sedang dilaksanakan.

“Insya-Allah, asas ekonomi kita yang kukuh serta ketersediaan kerajaan akan membolehkan kita mengharungi cabaran ini dengan kekuatan,” katanya pada sidang media mengenai tarif AS di sini, hari ini.

Berikutan itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah mengumumkan untuk meneliti semula pertumbuhan KDNK 2025 sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, berdasarkan laporan penilaian impak tarif AS yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, sebagai antara rakan dagang terbesar AS di ASEAN serta antara destinasi utama pelaburan asing dari negara itu, Malaysia dijangka merasai kesan tarif dalam tempoh jangka pertengahan hingga jangka panjang.

“Kesan ini dijangka meluas kerana tarif turut dikenakan ke atas hampir setiap rakan dagang dan sumber pelaburan Malaysia.

“Sekiranya lebih banyak negara melaksanakan tarif balas, perang perdagangan berskala global boleh tercetus dan menggugat pertumbuhan ekonomi dunia,” katanya.

Beliau juga optimis wujudnya beberapa kesan langsung dan tidak langsung yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia susulan pelaksanaan tarif AS berkenaan.

“Antaranya, beberapa eksport Malaysia dijangka menjadi lebih kompetitif di pasaran global berbanding negara lain yang dikenakan tarif lebih tinggi oleh AS.

“Kadar tarif ke atas Malaysia sebanyak 24 peratus dilihat lebih sederhana berbanding masing-masing Kemboja (49 peratus), Indonesia (32 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (45 peratus), Thailand (37 peratus), Vietnam (46 peratus) dan China (34 peratus),” katanya.

Berdasarkan angka itu, beliau berkata ramai penganalisis berpendapat keadaan ini hanya menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pengimport serta syarikat AS yang mencari input atau barangan perantaraan.

Tengku Zafrul berkata kesan penggantian juga dijangka memberi kelebihan kepada komoditi negara seperti minyak sawit dengan eksport minyak sawit Malaysia berpotensi menjadi lebih kompetitif, bukan hanya berbanding negara pesaing, malah permintaan juga mungkin beralih ke Malaysia.

Selain itu, impak langsung negatif adalah dari segi pengurangan permintaan yang menyebabkan hasil akan berkurangan dan menyaksikan pekerjaan dalam sektor eksport akan terkesan.

Permintaan yang berkurangan akan turut memberi kesan kepada pelaburan dan perbelanjaan, kata beliau.

“Kesemua faktor ini akan menyebabkan penurunan dalam KDNK Malaysia. Jika pelbagai negara menghadapi situasi yang sama, pertumbuhan global akan lembap,” katanya.

Tengku Zafrul berkata penurunan permintaan dari AS susulan pelaksanaan tarif timbal balas itu juga boleh mengakibatkan industri dan pasaran Malaysia berdepan lambakan barangan import dari negara lain yang mempunyai lebihan kapasiti dan akan meningkatkan persaingan dengan pengeluar-pengeluar tempatan.

Mengulas reaksi pelabur terhadap perkembangan itu, beliau berkata kebanyakan pelabur domestik dan asing berpendapat masih terlalu awal untuk menilai impak tarif terbabit ke atas operasi masing-masing sehingga pelaksanaannya pada 9 April, 2025.

“Beberapa pelabur menjangkakan gangguan ke atas rantaian bekalan, terutama melibatkan kontrak pembuatan. 

“Terdapat juga pelabur Malaysia yang sedang memperlahankan pelan pengembangan perniagaan masing-masing dan mula berjimat selain menumpukan usaha perluasan pasaran di China, India dan ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan