KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Cuckoo International (MAL) Bhd (Cuckoo Malaysia) sedang menjadualkan semula jadual tawaran awam permulaannya (IPO) di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Bhd berikutan ketidakstabilan pasaran global semasa.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Malaysia, Hoe Kian Choon berkata keputusan penjadualan semula itu dibuat selepas penilaian yang teliti dalam mensasarkan kemasukan yang berjaya dan mampan ke pasaran awam oleh syarikat itu.
"Mulanya, penyenaraian syarikat dirancang pada 30 April 2025, kini dijangka akan selesai menjelang 24 Jun 2025.
"Memandangkan pasaran sedang membentangkan cabaran jangka pendek, kami percaya bahawa ini adalah keputusan yang berhemat.
"Kami tetap yakin dengan prospek jangka panjang syarikat dan komited untuk mengekalkan momentum syarikat di semua segmen perniagaan," kata Hoe melalui satu kenyataan hari ini.
Berikutan perubahan dalam garis masa, syarikat akan mengeluarkan prospektus tambahan selain membuka tempoh pengeluaran langganan pelabur untuk pelabur yang telah mengemukakan tetapi ingin menarik balik permohonan IPO mereka.
"Prospektus tambahan dan butiran lanjut mengenai proses penarikan balik itu, termasuk tempoh dan kaedahnya, akan diumumkan dalam masa terdekat melalui laman sesawang Bursa Malaysia di https://www.bursamalaysia.com/ dan laman sesawang Cuckoo Malaysia di www.cuckoo.com.my/Investor-Relations," katanya.
Permohonan IPO syarikat berkenaan masih terbuka dan akan ditutup pada 5 Jun 2025, dengan penyenaraian di pasaran utama dirancang menjelang 24 Jun depan.
Syarikat itu juga menjelaskan walaupun garis masa telah diselaraskan, Cuckoo Malaysia menegaskan semula dedikasinya yang tidak berbelah bahagi untuk misi bagi mewujudkan kediaman yang lebih sihat untuk semua, memupuk gaya hidup yang lebih sihat kepada pelanggan sebagai Pencipta Kediaman Sihat.
"Syarikat itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemegang taruh atas keyakinan dan sokongan berterusan ketika ia mengambil langkah terbaik memastikan kejayaan penyenaraian tersebut yang bakal mendorong cadangan nilai dan pertumbuhannya dalam jangka panjang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial