KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Penyedia telekomunikasi berpangkalan di Sarawak Reach Ten Holdings Bhd (Reach Ten) menyasarkan untuk meraih RM104 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang rancangan penyenaraiannya di Pasaran Utama pada 2 Mei, 2025.
Menurut syarikat itu, harga IPOnya adalah 52 sen sesaham, mengunjurkan permodalan pasaran sebanyak RM520 juta selepas penyenaraian, berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 1.0 bilion saham.
Reach Ten akan memperuntukkan RM60 juta (57.7 peratus) daripada hasil IPO untuk mengukuhkan rangkaian gentian optik sedia ada di Kuching dan membina infrastruktur gentian optik baharu di Miri, Sibu dan Bintulu.
Selain itu, RM25 juta (24 peratus) akan digunakan untuk membina 100 menara telekomunikasi 4G dan/atau 5G baharu di seluruh Sarawak, dengan tumpuan di Miri, Sibu dan Bintulu.
Katanya, usaha ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri utnuk memperluaskan akses internet terutamanya di kawasan luar bandar.
Syarikat itu juga merancang untuk melabur sebanyak RM4.3 juta (4.1 peratus) untuk menaik taraf rangkaian telekomunikasi berasaskan satelit termasuk pembelian terminal satelit mudah alih dan tetap, perisian dan perkakasan sokongan serta menambah baik kemudahan teleportnya.
“Baki hasil sebanyak RM5.0 juta (4.8 peratus) akan digunakan untuk keperluan kerja modal, RM1.7 juta (1.6 peratus) bayaran balik pinjaman bank, manakala baki RM8.0 juta (7.7 peratus) untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusannya, Leo Chin berkata syarikat itu akan memperluaskan rangkaian gentian optik, mengukuhkan kapasiti satelit dan membangunkan penyelesaian digital bagi menyediakan sambungan tanpa gangguan di seluruh Sarawak.
Katanya, hasil IPO akan digunakan untuk memperluaskan infrastruktur rangkaian komunikasi gentian optik sedia ada di Kuching, sekali gus membolehkannya mencapai kawasan kurang mendapat perkhidmatan atau kawasan yang baharu dibangunkan, menarik pelanggan baharu dan meningkatkan bahagian pasaran.
“Selain itu, berdasarkan pengalaman membangunkan infrastruktur rangkaian komunikasi gentian fiber di Kuching dan Samarahan, kami berhasrat untuk membangunkan tiga infrastruktur rangkaian telekomunikasi gentian optik di Miri, Sibu dan Bintulu dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
“Ia bagi memenuhi permintaan pelanggan dan merebut peluang pertumbuhan perniagaan pada masa akan datang,” katanya.
Ketika ini, Reach Ten memiliki dan mengendalikan infrastruktur saluran gentian fiber sepanjang 217 kilometer dan 649 kilometer bagi rangkaian komunikasi kabel optik di Kuching dan Samarahan yang mengambil masa 14 tahun untuk dibangunkan.
Sepanjang dua dekad lepas, Reach Ten sudah menyertai pelbagai inisiatif kerajaan termasuk JENDELA iaitu program nasional bagi meningkatkan capaian dan kualiti jalur lebar, inisiatif Telekomunikasi Luar Bandar Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak atau SMART yang menyasarkan untuk memperluaskan ketersambungan di kawasan pedalaman dan inisiatif SALURAN, bagi memastikan rangkaian komunikasi boleh dipercayai di seluruh Sarawak.
Bagi keputusan kewangan 10 bulan berakhir 31 Okt, 2025, Reach Ten mencatatkan keuntungan bersih RM65.4 juta dengan perolehan sebanyak RM153.1 juta.
Keuntungan bersih yang dicapai dalam tempoh semakan itu telah mengatasi prestasi keseluruhan tahun 2023.
Bagi tahun kewangan 2024, syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM51.3 juta dan perolehan sebanyak RM182.3 juta.
Di bawah pelaksanaan penyenaraian, Reach Ten menerbitkan 200 juta saham baharu dan menawarkan jualan 100 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 20 peratus dan 10 peratus modal saham diperbesarkan miliknya.
Mengenai 200 juta saham terbitan, 50 juta saham baharu akan disediakan untuk orang awam Malaysia menerusi undian dan 25 juta saham baharu kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak serta menyumbang kepada kejayaan Kumpulan Reach Ten di bawah peruntukan borang merah jambu.
Sementara baki 125 juta saham terbitan akan diagihkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Bagi bahagian tawaran untuk jualan pula, 100 juta saham sedia ada diperuntukkan kepada penempatan persendirian untuk pelabur terpilih.
M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaaan IPO tersebut.
IPO itu dibuka untuk langganan bermula hari ini hingga 18 April, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial