EKONOMI > BERITA

WTCKL, WTC SHENZHEN TANDATANGANI MOU KUKUHKAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA

09/04/2025 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Pusat Dagangan Dunia (WTC) Shenzhen bagi memperkukuh peranan kedua-dua organisasi dalam mempromosikan perdagangan antarabangsa.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata pemeteraian MoU itu berlangsung di Marseille, Perancis semalam sempena Forum Perniagaan Global Persatuan Pusat Dagangan Dunia 2025 kali ke-55, sebuah platform terkemuka yang menghimpunkan ahli perniagaan dan pelabur dari seluruh dunia.

Irmohizam berkata MoU itu juga bertujuan menarik pelaburan global dan menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada ahli organisasi masing-masing.

“Langkah ini selaras dengan hasrat untuk menjadikan kedua-dua pusat dagangan ini sebagai hub perniagaan bertaraf dunia dalam sektor perkhidmatan perdagangan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Irmohizam mewakili WTCKL dan Liu Xiao serta Haobo (Yuci) Yang selaku wakil WTC Shenzhen.

Irmohizam berkata melalui kerjasama itu, kedua-dua organisasi akan saling melengkapi dan bergabung kepakaran dalam memacu inisiatif yang menyokong pertumbuhan ekonomi, pemindahan teknologi serta pembangunan perdagangan dua hala yang lebih progresif.

“Saya yakin WTCKL dan WTC Shenzhen akan terus berusaha mencari peluang terbaik dan mengukuhkan keberadaan kami dalam industri perkhidmatan perdagangan serta membantu dalam memudahkan pertumbuhan ekonomi yang lebih luas di kedua-dua negara.

“Melalui inisiatif ini, kedua-dua WTC akan memperluaskan rangkaian dan perkongsian maklumat dengan lebih mudah dan menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan