EKONOMI > BERITA

ASEAN SALUR DANA BANTUAN GEMPA BUMI MYANMAR, BINCANG USAHA JANGKA PANJANG

10/04/2025 09:55 AM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Dana Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN telah dimanfaatkan susulan kejadian gempa bumi di Myanmar baru-baru ini, selain usaha blok serantau itu yang sedang meneliti aspek pemulihan jangka panjang.

Sambil menyifatkannya sebagai paparan semangat ASEAN, Setiausaha Agung Dr Kao Kim Hourn berkata fasa pertama pembiayaan itu telah disalurkan secara lancar menerusi pelbagai mekanisme, termasuk Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (Pusat AHA), yang menumpukan bantuan kecemasan untuk komuniti terjejas.

“Ini memaparkan komitmen kolektif dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk memberi memberi respons terhadap krisis dalam rantau ini,” katanya dalam wawancara dengan Bernama.

Kao mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat berkaitan yang berakhir hari ini.

Bencana gempa bumi itu menjejaskan Myanmar dengan gegarannya turut dirasai di negara jiran, Thailand dan Laos dan menyebabkan kemusnahan besar, meragut lebih 3,000 nyawa manakala ribuan lain cedera dan dilaporkan hilang selain berlaku kerosakan infrastruktur.

Beliau berkata sewaktu perkumpulan itu meraikan ulang tahun ke-20 “One ASEAN, One Response” pada tahun lepas, negara-negara anggota turut bersepakat mewujudkan dana sumbangan awam, memperluaskan asas sokongan dan memudahkan usaha menggerakkan sumber secara cekap di saat-saat memerlukan.

Namun, pada masa sama, Kao menekankan sekarang sebagai tempoh penting untuk ASEAN meneliti pembangunan semula dan pemulihan jangka panjang di Myanmar.

“Dalam pertemuan menteri-menteri luar baru-baru ini di bawah kepimpinan PCAC (Pusat Persediaan Komuniti ASEAN) Menteri Luar Malaysia (Datuk Seri Mohamad Hasan) sebagai Pengerusi (Majlis Penyelaras ASEAN), kami memperakui keperluan bagi pelan pemulihan jangka pertengahan dan panjang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata perbincangan juga sedang dijalankan membabitkan kemungkinan bagi memastikan dana itu kekal mampan dengan sumber yang mencukupi.

“Kami bekerjasama rapat dengan pengerusi untuk meninjau platform komitmen sumbangan. Myanmar secara rasmi telah meminta pengaktifan mekanisme AHA dan kami menyelaras usaha dengan semua negara anggota untuk menggerakkan sokongan seterusnya," katanya.

Kao berkata tumpuan masa ini lebih kepada aspek bantuan kemanusiaan segera namun wujud keperluan sumbangan lebih besar apabila rantau ini beralih kepada pemulihan pasca bencana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan