EKONOMI > BERITA

PM ANWAR TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI ORACLE, BINCANG POTENSI PELABURAN AI

10/04/2025 10:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Naib Presiden Eksekutif Jepun dan Asia Pasifik bagi Oracle Corporation (Oracle), Garrett Ilg serta delegasinya.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Anwar berkata pertemuan itu membincangkan potensi perkhidmatan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) termasuk yang disediakan oleh Oracle.

Perdana Menteri berkata beliau turut membangkitkan kepentingan pengukuhan ekosistem bakat dan inovasi negara, termasuk langkah bagi memupuk tenaga kerja mahir dengan kemahiran digital yang berkaitan dan keterangkuman digital.

"Ketika dunia berhadapan dengan ketidaktentuan tercetus daripada perang tarif, Malaysia amat menghargai komitmen dan usaha merealisasikan pelaburan yang telah dirancang oleh pelabur termasuk daripada Amerika Syarikat," kata Anwar. 

Beliau berkata Oracle adalah syarikat teknologi pengkomputeran utama dunia yang mengumumkan pada Oktober tahun lepas mengenai rancangan untuk melabur lebih daripada US$6.5 bilion  (US$1=RM4.467) untuk membuka rantau awan awam di Malaysia. 

Pelaburan ini merangkumi lebih daripada 150 infrastruktur dan perkhidmatan Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) yang akan membantu meningkatkan ekonomi digital negara serta memacu inovasi yang didorong oleh AI, kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan