EKONOMI > BERITA

PARAS STOK MINYAK SAWIT DIJANGKA MENINGKAT LAGI BULAN INI

11/04/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Paras stok minyak sawit dijangka meningkat lagi pada April 2025 susulan harga minyak mentah yang rendah, ketiadaan permintaan yang didorong oleh perayaan dan corak kitaran semula jadi.

Menerusi nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjelaskan paras stok minyak sawit meningkat 3.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.56 juta tan pada Mac 2025, peningkatan pertama dalam tempoh enam bulan disebabkan oleh pertambahan semula keluaran.

Oleh itu, bank pelaburan tersebut mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) 2025-2026 pada RM4,000 satu tan dan RM3,800 satu tan, berasaskan kekukuhan harga MSM yang diandaikan akan reda apabila prospek bekalan kembali pulih.

Ketegangan perdagangan Amerika Syarikat(AS)-China yang semakin memuncak dijangka mengakibatkan China beralih kepada minyak sawit sebagai sebahagian daripada import minyak sayurannya namun, hal itu mungkin dibelenggu oleh ketidaktentuan permintaan, tambahnya.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank menjangkakan harga MSM kekal stabil, berlegar dalam julat lebih rendah iaitu RM4,000 hingga RM4,500 satu tan pada April.

“Ini adalah lazim, sejajar dengan aliran pengeluaran bermusim. Tempoh pendebungaan berakhir pada Mac dengan pengeluaran minyak sawit dijangka pulih, yang mungkin membawa kepada peningkatan paras stok akhir,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu juga berpendapat jumlah perolehan sektor itu akan terus meningkat pada separuh pertama 2025 sejajar dengan harga purata MSM yang diandaikan lebih tinggi.

“Bagaimanapun, margin berkemungkinan masih mengalami tekanan disebabkan kos pengeluaran yang terus meningkat disebabkan kos baja yang tinggi pada separuh kedua 2024, ditambah dengan perbelanjaan pembelian tandan buah segar luaran yang meningkat dalam keadaan kadar penggunaan kilang yang rendah,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan