GEORGE TOWN, 11 April (Bernama) -- Menjelang pembukaan rasmi pada Oktober tahun ini, Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC) telah membentuk perkongsian strategik dengan pakar pusat konvensyen dari Korea Selatan bertujuan untuk meningkatkan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkongsian strategik ini merupakan tanda persahabatan yang semakin meningkat antara Pulau Pinang serta Korea Selatan, bukan hanya sekadar budaya tetapi secara ekonomi dan strategik.
“Perkongsian antara IJM Perennial Development Sdn Bhd dan KinMalaysia Management Sdn Bhd, anak syarikat Korea International Exhibition Centre (KINTEX) serta antara Biro Pameran dan Konvensyen Pulau Pinang (PCEB) dengan KINTEX adalah lonjakan yang menarik untuk penganjuran persidangan yang lebih besar, kerjasama pintar dan pendedahan antarabangsa yang lebih banyak bagi Pulau Pinang,” katanya.
“Tahun lepas sahaja, Pulau Pinang telah menganjurkan lebih daripada 2,000 acara perniagaan, menarik 300,000 perwakilan dan menghasilkan anggaran RM1.29 bilion dalam impak ekonomi,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani perkongsian itu di sini hari ini.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Datuk Bandar Khas Goyang Lee Dong-Hwan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai, Pengarah IJM Perennial Datuk Tony Ling Thou Lung, Ketua Pegawai Eksekutif PCEB Ashwin Gunasekeran dan Ketua Pegawai Eksekutif KINTEX Lee Jae-Yul.
Sementara itu, Ling berkata kalendar acara sulung PWCC untuk 2025 sedang dipenuhi dengan cepat dan antara acara yang disahkan termasuk Persidangan Menteri Pasifik ke-7 mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar, Malaysia International Tech Edu, Minggu K-Brand yang memaparkan Ekspo K-Beauty Malaysia dan Water Tech Asia.
PWCC dijangka menarik lebih daripada 30,000 perwakilan pada tahun pertamanya, menghasilkan kira -kira RM55.5 juta untuk ekonomi Pulau Pinang.
PWCC ditetapkan untuk menjadi kemudahan konvensyen terbesar di negeri ini dengan keluasan boleh sewa bersih 76,000 kaki persegi. Ia akan mempunyai kapasiti tempat duduk 5,500 tetamu (jamuan) dan 8,000 orang (teater).
Ini termasuk bilik mesyuarat, lounge VIP, kemudahan akses ke kedai runcit serta makanan dan minuman, tempat letak kereta termasuk akses segera bagi tetamu ke hotel.
PWCC adalah komponen utama pembangunan The Light City, yang merangkumi pusat peruncitan tepi laut yang terbesar di Pulau Pinang, ia mengandungi hotel antarabangsa, menara pejabat premium dan kediaman mewah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial