EKONOMI > BERITA

IATA SERU KERAJAAN TINGKAT PENGELUARAN SAF MELALUI RANGKA KERJA DASAR

15/04/2025 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan untuk melaksanakan rangka kerja dasar bagi mengurangkan kos dan meningkatkan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF), dengan alasan bahawa jumlah SAF masih jauh di bawah paras ideal selain kos pengeluarannya yang masih tinggi.

IATA melalui satu kenyataan hari ini berkata industri itu komited dalam melaksanakan pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

"Bagaimanapun peningkatan pengeluaran SAF, yang merupakan kunci utama kami masih di paras yang amat mengecewakan. Pengeluar bahan api utama agak perlahan atau tidak memberi pelaburan sewajarnya untuk SAF," kata Ketua Kargo Global IATA, Brendan Sullivan.

Beliau berkata pengeluar kapal terbang telah mengendurkan komitmen mereka dalam penghantaran jangka sederhana produk pengurangan pelepasan karbon seperti pesawat bertenaga hidrogen memandangkan banyak kerajaan tidak menyediakan sokongan dasar yang diperlukan, walaupun mereka telah dibuktikan dengan pengembangan meluas industri tenaga angin dan solar.

"Sebaliknya, mereka memberikan isyarat bercampur dengan pemberian subsidi pengekstrakan bahan api fosil tetapi mensasarkan matlamat sifar bersih (pelepasan karbon). Syarikat penerbangan adalah komited, bagaimanapun, kami tidak dapat melakukannya secara bersendirian," kata Sullivan.

Menurut IATA, momentum di sekitar SAF semakin berkembang, dengan banyak perjanjian baharu dibuat merentasi rantaian nilai selain lebih banyak syarikat kini komited ke arah penggunaan SAF. 

IATA akan melancarkan "CO2 Connect for Cargo" bagi menyokong pengiraan dan pelaporan pelepasan yang tepat termasuk penggunaan SAF. 

Sementara itu, IATA berkata peranan kargo udara adalah penting dalam mengekalkan daya tahan rantaian bekalan global dan menyeru kerajaan serta industri untuk terus memberi tumpuan kepada menyampaikan jangkaan asas pelanggan iaitu keselamatan, pendigitalan dan kemampanan.

Sullivan berkata nilai kargo udara adalah amat ketara dan jelas sama ada bagi menyokong perdagangan global, e-dagang atau memberikan bantuan kemanusiaan pada saat kritikal.

"Untuk memenuhi jangkaan pelanggan serta mengemudi persekitaran yang semakin kompleks, industri kargo udara mesti terus mengukuhkan keselamatan, pendigitalan pantas dan menyampaikan komitmen kemampanannya," ujar beliau.

IATA ketika menyentuh mengenai penghantaran bateri lithium, turut menyeru kerajaan untuk meningkatkan usaha bagi menghentikan pengirim yang masih berdegil selain menyokong usaha Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dalam menguatkuasakan Lampiran 18 Konvensyen Chicago, rangka kerja global untuk pengangkutan selamat barang berbahaya melalui udara.

"Penghantaran bateri litium telah melonjak. Memandangkan peningkatan risiko yang berkaitan dengan barang-barang yang tidak diisytiharkan atau salah, pihak undustri telah melabur banyak dalam latihan, pensijilan dan teknologi. Kerajaan pula sewajarnya bergerak seiring dengan komitmen ini melalui tindakan dan penguatkuasaan," kata Sullivan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan