KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung Sunsuria Bhd (Sunsuria), Sunsuria Damansara Sdn Bhd (SDSB) memeterai Perjanjian Hak Pembangunan (DRA) dengan Kwasa Development (13) Sdn Bhd (KD13) bagi projek kediaman di Sungai Buloh, Selangor.
Perjanjian dengan unit di bawah Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land) itu melibatkan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM492 juta.
Kwasa Land merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pemaju induk Kwasa Damansara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata projek akan datang yang melibatkan rumah bertanah dan kondominium, akan menampilkan 520 unit kediaman dan siap dalam beberapa fasa dengan fasa pertama dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2026.
Syarikat itu berkata KD13 memberi hak kepada SDSB untuk membangunkan dan menjual unit kediaman di atas tanah terlibat mengikut pelan yang diluluskan pada kos dan perbelanjaan sendiri, dan tertakluk kepada undang-undang berkenaan serta terma dan syarat DRA.
Katanya, SDSB akan membayar sebanyak RM88.63 juta kepada KD13 bagi kos tanah yang dirujuk sebagai Nilai Hak Pembangunan 1 (DRV 1).
“Daripada jumlah itu, RM8.86 juta (10 peratus daripada DRV 1) akan dibayar selepas pemeteraian DRA, manakala baki RM79.77 juta akan dibayar dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh DRA atau selewat-lewatnya 15 Dis, 2025, yang mana dahulu,” katanya.
Selain itu, SDSB akan membayar KD13 jumlah yang sama dengan satu peratus daripada nilai jualan kasar pembangunan atau Nilai Hak Pembangunan 2 (DRV 2), yang perlu dibayar dalam tempoh enam bulan selepas sijil perakuan siap dan pematuhan dikeluarkan bagi setiap fasa.
Katanya, SDSB turut memberi jaminan bahawa pembayaran keseluruhan DRV2 tidak akan kurang daripada RM4.92 juta.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sunsuria Tan Wee Bee berkata projek pembangunan oleh syarikat itu di Kwasa Damansara akan menawarkan gabungan perumahan teres dan kediaman bertingkat tinggi, yang direka bentuk bagi menyokong kehidupan pelbagai generasi.
“Rekod prestasi kami sudah terbukti dengan pembangunan mercu tanda seperti Sunsuria City, Bangsar Hill Park dan Sunsuria Forum yang mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan ruang yang memberi inspirasi dan inovatif.
“Kami gembira untuk memulakan perkongsian strategik dengan Kwasa Land dan mengharapkan kerjasama yang berjaya dan menuju ke hadapan dalam pembangunan baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kwasa Land Datuk Adenan Md Yusof berkata perkongsian ini menandakan satu lagi kejayaan dalam hasrat mereka untuk membina sebuah perbandaran baharu yang bertenaga dan mampan bertemakan ‘Kehijauan, Terhubung dan Inklusif’.
“Bersama-sama, kita akan mewujudkan ruang yang bukan sahaja mencerminkan inovasi dan pertumbuhan tetapi juga memupuk hubungan dengan komuniti dan tangungjawab alam sekitar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial