KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melantik Timbalan Ketua Setiausahanya (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding Malaysia untuk rundingan tarif rasmi akan datang dengan Amerika Syarikat (AS).
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata AS juga telah menamakan salah seorang penolong wakil perdagangan Amerika Syarikat (USTR) untuk mengetuai rundingan itu dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan selepas Kabinet Malaysia memberikan kelulusan.
"Kami kini sedang menunggu kelulusan Kabinet sebelum meneruskannya.... Pihak AS telah bersetuju untuk melibat urus, dan kedua-dua USTR dan Setiausaha Perdagangan mahu meneruskan rundingan ini," katanya kepada pemberita semasa majlis rumah terbuka MITI, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata antara bidang tumpuan utama adalah mengurangkan tarif, menangani halangan bukan tarif -- terutamanya dalam pertanian -- dan lebihan perdagangan Malaysia dengan AS, yang kini berjumlah US$25 bilion (US$1=RM4.34).
“Mengenai tarif, kita menyasar untuk mengurangkannya -- tidak semestinya kepada sifar, tetapi ke tahap yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak -- manakala bagi halangan bukan tarif, kita mengenal pasti bahagian yang adil untuk dipertimbang dikurangkan.
"Bagi ketidakseimbangan perdagangan, kita telah mengurangkannya kepada hampir separuh dalam tempoh empat tahun lepas, daripada lebih US$40 bilion kepada US$25 bilion," katanya.
Pada 2 April lepas, Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan tarif terhadap kira-kira 60 negara termasuk 24 peratus ke atas kebanyakan barangan Malaysia.
Bagaimanapun, tarif itu telah ditangguhkan sementara bagi tempoh 90 hari untuk hampir kebanyakan negara bagi membolehkan rundingan perdagangan diadakan.
Pada 24 April, Tengku Zafrul mengetuai delegasi Malaysia untuk bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer di Washington bagi membincangkan mengenai isu berkaitan tarif tersebut.
Keputusan pusingan pertama rundingan perdagangan AS-Malaysia dijangka dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) esok yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Tengku Zafrul berkata kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai keselamatan ekonomi, terutamanya berkaitan teknologi dan perlindungan harta intelek.
"Mereka (AS) sangat bimbang teknologi yang sedang dibangunkan di sini atau dikilang di sini mungkin jatuh ke tangan yang tidak serasi dengan AS. Jadi, sekali lagi, kita perlu melihat (bagaimana untuk melaksanakan) penguatkuasaan.
"Salah satu idea yang telah kami kemukakan sebagai contohnya adalah mengenai perjanjian perlindungan teknologi," katanya, sambil menambah perbincangan terperinci akan dibuat sebaik sahaja rangka kerja rundingan dimuktamadkan.
Mengenai perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata tindakan tarif terhadap pengeksport panel solar tertentu Malaysia dan China hanya terpakai kepada syarikat yang tidak patuh kepada peraturan.
“Kami membantu syarikat membentangkan hujah pembelaan mereka. Malangnya, beberapa penjelasan tidak diterima.
“Kini bergantung kepada firma yang terjejas sama ada untuk terus mengeksport (ke AS) atau mengubah hala strategi mereka,” katanya.
Beliau juga berkata Malaysia tidak meminta lanjutan bagi tempoh penangguhan 90 hari itu dan akan mengusahakan ikhtiar dalam tempoh masa yang diberikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial