KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Bhd (Malakoff), Malakoff Power Bhd (MPower) telah berjaya menerbitkan Sukuk Murabahah Pelaburan dan Bertanggungjawab (SRI) Kemampanan ASEAN pertamanya sebanyak RM250 juta di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang bernilai RM1.2 bilion.
Ini adalah tawaran kelestarian sulung Malakoff di bawah Sukuk Murabahah SRI Kemampanan ASEAN dan yang pertama oleh pengeluar tenaga bebas di Malaysia.
Malakoff melalui satu kenyataan bersama dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) hari ini menjelaskan hasil daripada pengeluaran itu akan digunakan untuk membiayai projek yang bersesuaian oleh MPower, Malakoff dan anak-anak syarikatnya, selaras dengan Kerangka Kewangan Malakoff yang telah diadakan sejak Disember 2023.
“Maybank IB bertindak sebagai pengurus utama tunggal dan ejen kemudahan manakala Maybank Islamic Berhad menjadi penasihat syariah bagi terbitan ini,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata urus niaga itu menandakan kejayaan penting bagi MPower disebabkan ia mewakili terbitan Sukuk Murabahah SRI Kemampanan ASEAN yang pertama melalui langkah penetapan harga di bawah program IMTNnya.
“Memandangkan terbitan sukuk awam terakhir MPower adalah pada Disember 2013, kami amat teruja dengan permintaan yang kukuh daripada para pelabur yang pelbagai untuk terbitan tersebut, yang telah menetapkan tanda aras harga yang baharu untuk MPower,” katanya.
“Melangkah ke hadapan, Malakoff akan terus memperluaskan portfolio aset melalui perkongsian strategik dan inisiatif ekonomi kitaran. Sebagai rakan kongsi dipercayai dalam peralihan hijau Malaysia, kami kekal fokus untuk memperkukuhkan keupayaan, meningkatkan kecekapan dan menyampaikan nilai jangka panjang dalam landskap tenaga yang sentiasa berkembang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, Michael Oh-Lau berkata bahawa bank itu amat berbesar hati kerana dapat bertindak sebagai pengurus utama dan penasihat dalam terbitan sulung sukuk berkenaan, mencerminkan komitmen Maybank IB untuk menjadi peneraju kelestarian di rantau ini.
“Sambutan yang baik daripada pelabur mencerminkan keyakinan pasaran terhadap Malakoff serta keupayaan Maybank IB bagi mendapatkan penyertaan yang mantap walaupun dalam musim pasaran yang mencabar.
“Hasil penetapan harga ini juga meletakkan transaksi bersejarah ini sebagai salah satu sebaran terendah untuk korporat pada jalur penarafan AA-/AA3 dalam tempoh terkini,” katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial