EKONOMI > BERITA

PERTUMBUHAN KDNK MALAYSIA DIJANGKA KEKAL KUKUH 4.9 PERATUS PADA 2025

17/02/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kekal kukuh pada 4.9 peratus bagi tahun ke tahun pada 2025.

Bank-bank pelaburan tempatan juga menyifatkan unjuran itu seiring dengan angka rasmi Kementerian Kewangan (MoF) mengenai pertumbuhan KDNK 4.5-5.5 peratus pada tahun ini.

Ekonomi Malaysia berkembang kepada 5.1 peratus pada 2024 daripada 3.6 peratus dalam 2023, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, aktiviti pelaburan yang berterusan serta pemulihan sektor luaran.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata pertumbuhan KDNK negara ini diunjur kukuh namun menyederhana sedikit kepada 4.9 peratus tahun ke tahun pada 2025, didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah berterusan berikutan pasaran tenaga kerja yang mantap.

“Unjuran itu disokong seterusnya oleh pendekatan pendapatan, termasuk peningkatan gaji serta bantuan sumbangan tunai (2025 : RM13 bilion; 2024 : RM10 bilion).

“Pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan jumlah projek pelaburan langsung asing (FDI) direalisasikan lebih tinggi serta aktiviti pelancongan yang berterusan, akan menyumbang kepada pertumbuhan secara menyeluruh,” katanya.

HLIB turut mengekalkan jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus sepanjang 2025 ketika pertumbuhan domestik diunjur terus stabil dan tekanan inflasi dijangka meningkat.

“Bank Negara Malaysia juga menyaksikan risiko peningkatan terhadap pertumbuhan seperti limpahan lebih besar daripada kitaran teknologi, aktiviti pelancongan serta pelaksanaan projek yang lebih cepat,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) juga berkongsi pendapat sama apabila mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.9 peratus.

Menurutnya, walaupun pemulihan berterusan jualan semikonduktor global dan sektor pelancongan menyokong eksport barangan dan perkhidmatan, Maybank IB kekal berhati-hati mengenai risiko luaran dan ketidaktentuan susulan dasar perdagangan Amerika Syarikat serta langkah-langkah tarif di bawah pentadbiran kedua Presiden Donald Trump.

“Di peringkat negara, terdapat beberapa faktor sokongan, termasuk peningkatan kitaran pelaburan yang berterusan dan realisasi sektor swasta mantap yang diluluskan sejak 2021.

“Selain itu, langkah-langkah Belanjawan 2025 yang bertujuan meningkatkan pendapatan pekerja seperti kenaikan gaji perkhidmatan awam, pencen dan gaji minimum bersama dengan peruntukan lebih besar untuk pemberian bantuan tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah dan pelepasan cukai pendapatan peribadi diperluas, dijangka mengekalkan pertumbuhan perbelanjaan pengguna," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan