KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) - Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) yang dilancarkan sejak Disember 2023 dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah mengagihkan pembiayaan berjumlah RM450,000 kepada 103 usahawan mikro asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank Bhd Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata jumlah pembiayaan tersebut telah disalurkan menerusi dua kumpulan (cohort) pertama sebelum ini dengan setiap cohort menerima agihan sebanyak RM225,000.
“Walaupun agihan itu kecil tetapi dari segi impaknya besar. Berdasarkan Laporan Keberkesanan Program AZAM, terdapat peningkatan pendapatan bagi setiap individu usahawan mikro asnaf, ada yang sampai 44 peratus dan ada juga 150 peratus, tetapi purata peningkatan pendapatan perniagaan sebanyak 36 peratus.
“Jadi, bayangkan kalau kita kembangkan lagi dana sosial dalam program ini, bukan sahaja dari segi impak sosial, malah lagi meluas daripada apa yang kita lakukan dalam fasa perintis program ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perkongsian Laporan Keberkesanan Program AZAM, di sini, hari ini.
Bagi kumpulan (cohort) ketiga program AZAM yang dijadualkan bermula pada Ogos depan Rizal menyasarkan 135 peserta usahawan mikro asnaf menerima pembiayaan dan berharap jumlah peserta akan bertambah dari semasa ke semasa.
Mengenai kerjasama Alliance Islamic Bank dengan lembaga zakat negeri lain atau syarikat korporat, beliau berkata bank itu juga menerima permohonan daripada beberapa lembaga zakat negeri yang berminat untuk menyertai program tersebut.
“Kami akan terus menjalinkan kerjasama dengan beberapa authority (badan) zakat negeri di seluruh Malaysia bagi memperkenalkan program ini secara lebih meluas.
“Program ini akan memberikan impak yang lebih besar sekiranya dapat diperluaskan ke seluruh negara, sekali gus membolehkan dana zakat dimanfaatkan dan dikembangkan dengan lebih efektif," katanya.
AZAM yang berlandaskan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan Maqasid Shariah, merupakan inisiatif pembiayaan sosial Islam pertama di Malaysia yang memperkenalkan pendekatan baharu dalam agihan zakat secara lebih mampan dan produktif.
Penggunaan model dana pusingan yang mampan dan pembiayaan mikro tanpa faedah berasaskan konsep Qard AZAM memperkasakan usahawan asnaf untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka.
Bayaran balik oleh peserta disalurkan semula ke dalam dana tersebut bagi membolehkan lebih ramai penerima baharu mendapat manfaat seterusnya memperluaskan capaian program ini kepada lebih banyak keluarga yang memerlukan.
Alliance Islamic Bank bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti dan mengesahkan penerima asnaf yang layak manakala Amanah Ikhtiar Malaysia pula memainkan peranan dalam penyaluran dan pungutan dana,serta menyediakan latihan dan bimbingan keusahawanan kepada penerima.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial