EKONOMI > BERITA

PUCM PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA MELALUI PERDAGANGAN, TEKNOLOGI DAN PERTUKARAN BUDAYA

15/05/2025 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) terus memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan China, bukan hanya memupuk perkongsian perniagaan yang kukuh, tetapi juga dalam memajukan pelancongan, teknologi dan diplomasi budaya.

Bercakap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 PUCM hari ini, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching memuji usaha persatuan itu, sepanjang sedekad dalam menjalin hubungan berterusan merentasi sektor utama seperti teknologi, telekomunikasi, budaya dan pendidikan.

“Selain perdagangan dan pelaburan, hubungan antara rakyat negara kita terus bertambah erat. Menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang semakin hampir, kami menanti untuk mengalu-alukan lebih banyak pelancong dari China dan seluruh dunia,” katanya pada majlis itu di sini.

Teo memaklumkan pada 2024, ketibaan pelancong dari China melonjak kepada 3.7 juta, iaitu peningkatan luar biasa sebanyak 130.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Inisiatif ini menandakan lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-China, mengukuhkan kesalinghubungan kita dalam perdagangan, pelancongan, pendidikan dan diplomasi budaya. Ini berlaku pada saat penting ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025, di mana keterangkuman dan kemampanan akan membentuk agenda serantau.

“Pergerakan yang lebih mudah untuk perniagaan, usahawan, pelajar dan pelancong bukan hanya memperkukuh hubungan dua hala, tetapi juga meningkatkan kedudukan ASEAN sebagai rantau yang dinamik, berpaksikan rakyat dan bersedia ke arah masa depan,” katanya.

Teo juga mengulangi komitmen Kementerian Komunkasi untuk memupuk ekosistem yang menyokong kepada pelabur tempatan dan asing dalam sektor digital serta komunikasi. 

“Kami terus menyemak dan memperkemas rangka kerja kawal selia, sambil menggubal polisi yang  menggalakkan ekonomi digital yang dinamik, selamat dan inklusif untuk semua,” katanya dan mengalu-alukan PUCM dan rakan kongsinya untuk meneruskan usaha sama, pertukaran teknologi dan pelaburan yang memanfaatkan kedua-dua negara.

Beliau juga memaklumkan tema pameran tahun ini Teknolgi Pintar, Pendigitalan dan Pendidikan, sangat sejajar dengan keutamaan ekonomi MADANI dan usaha Malaysia ke arah keterangkuman digital, keselamatan siber dan pertumbuhan diterajui inovasi.

Sempena ulang tahun ke-10 persatuan itu, Presiden PUCM Datuk Keith Li mengimbau penubuhan persatua  itu daripada hanya tujuh ahli pengasas kepada hampir 200 syarikat ahli sejak sedekad lepas. 

“Antara pencapaian membanggakan kami ialah penganjuran Pameran Perdagangan Industri Pintar China 2025 (CSITE 2025), yang menonjolkan kejayaan dalam kecerdasan buatan (AI), teknologi dron dan penyelesaian bandar pintar.

“Inisiatif ini berfungsi sebagai jambatan penting menghubungkan inovasi China dengan peluang di Malaysia,” katanya.

Sambutan itu juga melibatkan pelancaran majalah edisi khas ulang tahun ke-10 PUCM.

Terdahulu, Teo merasmikan pelancaran CSITE 2025 dan meluangkan masa sekitar 30 minit melawat reruai pameran termasuk oleh China Telecom (M) Sdn Bhd, China Silk Road Group dan Geespace.

Beliau juga melawat reruai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Malaysia-China Insight dan Nanjing Xinyan Cultural Media Co, Ltd. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan