KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Dunham-Bush Industries Sdn Bhd, antara pengeluar sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) paling lama ditubuhkan di Malaysia menganjurkan seminar berkaitan pusat data (DC) hari ini dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama berkata perbincangan itu memfokuskan kepada peranan penting penyejukan ketepatan dalam mengekalkan masa operasi, daya tahan sistem dan kecekapan tenaga DC sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab bagi penyelesaian iklim yang maju dan mampan bagi infrastruktur misi-kritikal.
Dengan tema “Keep Your DC Cool,” seminar ini menghimpunkan lebih 60 pihak berkepentingan utama seluruh ekosistem DC serta agensi kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata sejak 2021 hingga Jun 2025, MIDA meluluskan pelaburan bernilai RM144.4 bilion dalam projek DC dan pengkomputeran awan.
“Projek-projek ini mewujudkan rangkaian kukuh dalam rantaian nilai Malaysia, dengan DC berasaskan kecerdasan buatan (AI) mampu menjana sehingga empat kali ganda impak hiliran kepada pembekal tempatan, penyedia perkhidmatan dan tenaga kerja mahir.
“Dengan memperteguh daya tahan dan daya saing, kami meletakkan asas untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi data global. Syarikat seperti Dunham-Bush membuktikan pendekatan ‘juara tempatan’ untuk berkembang ke peringkat global di samping menyumbang kepada keutamaan negara,” katanya.
Pengarah Urusan Dunham-Bush Malaysia Yu Baoshuang berkata syarikat komited untuk menawarkan penyelesaian penyejukan ketepatan dan cekap tenaga bagi memenuhi keperluan industri DC yang semakin meningkat.
“Permintaan ini telah membolehkan kami memperluas pengeluaran tempatan, melabur dalam teknologi baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.
“Bersama-sama rakan strategik seperti MIDA, kami sedang membina masa depan yang lebih kukuh untuk Malaysia sebagai hab serantau bagi DC,” katanya.
Seminar ini adalah sejajar dengan inisiatif Data Centre Nexus oleh MIDA yang dilancarkan pada Mei lepas sebagai komitmen berterusan kerajaan ke atas sektor ini.
“Apabila AI dan pengkomputeran awan memacu pertumbuhan pemprosesan data secara eksponen, infrastruktur fizikal yang menyokong aspirasi digital ini menjadi semakin penting,” menurut kenyataan itu.
Seminar ini turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan dan industri dalam meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global dalam landskap DC.
Menurut kenyataan itu, melalui inovasi Dunham-Bush dan kemudahan MIDA, Malaysia mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, menarik pelaburan bernilai tinggi, dan membina ekonomi yang bersedia masa depan, berdaya saing, inklusif dan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial