KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persekutuan Industri Jentera dan Kejuruteraan (MEIF) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan ekosistem jentera dan kejuruteraan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata kerjasama itu menekankan keperluan untuk kerajaan dan sektor swasta bekerjasama dalam memperkukuh industri tersebut.
“MIDA dan MEIF akan mewujudkan platform berstruktur untuk bekerjasama bagi memenuhi cita-cita Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan agenda pelaburan domestik Malaysia.
“Perkongsian itu akan mengutamakan pembangunan ekosistem, penggunaan teknologi, kemampanan, kemudahan pelaburan dan hubungan yang lebih kukuh antara industri, kerajaan dan institusi penyelidikan,” kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata sektor jentera di Malaysia kekal asas kepada pangkalan pembuatan dan kerjasama dengan MEIF akan membantu memacu fasa pertumbuhan sektor itu yang seterusnya.
“Kami melihat tanda-tanda menggalakkan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia sudah bersedia untuk menerima teknologi termaju dan apa yang mereka perlukan ialah sokongan berstruktur untuk bersaing secara berkesan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.
“Menerusi perkongsian ini, kami boleh membina kekuatan sedia ada sektor itu dan melengkapkan jurutera dan juruteknik kita dengan keupayaan yang diperlukan oleh pasaran global,” katanya.
Sikh Shamsul berkata menyelaraskan kepakaran industri dengan sumber daripada kerajaan akan membantu sektor jentera dan kejuruteraan Malaysia menarik bahagian lebih besar dalam pelaburan pembuatan serantau kerana syarikat mencari pembekal boleh dipercayai yang lebih dekat dengan pasaran utama.
Presiden MEIF Mac Ngan Boon berkata MoU itu menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan peranan industri jentera dan kejuruteraan dalam pertumbuhan Malaysia.
“Selama beberapa dekad, industri kita telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan negara, dan hari ini kami terpanggil untuk memperkukuh rantaian bekalan tempatan, menerima teknologi baharu dan mempersiapkan PKS kita untuk bersaing di pentas global.
“Dengan MIDA sebagai rakan strategik, MEIF yakin kami dapat membantu menempatkan jentera dan industri kejuruteraan Malaysia sebagai tonggak transformasi industri di bawah NIMP 2030,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial