EKONOMI > BERITA

MATRIX CONCEPTS, GOLOG METERAI MOU UNTUK PEMBANGUNAN TANAH MVV 2.0 DI NEGERI SEMBILAN

08/10/2025 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Matrix Concepts Holdings Bhd (MCHB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Golog Holdings Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam pengambilan dan pembangunan sebidang tanah seluas 250.1 hektar di Smart County, Labu, Negeri Sembilan.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kerjasama ini bertujuan memajukan objektif Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) melalui pembangunan China-Malaysia Air Silk Road Dual Hub Industrial Park (Taman Perindustrian CMAS).

Kata MCHB, MoU berkenaan memformalkan hasrat kedua-dua pihak untuk mewujudkan kerangka kerjasama dan penyertaan dalam merealisasikan serta melaksanakan projek tersebut.

“MoU itu juga bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam meneroka peluang perniagaan bersama bagi pembangunan bersepadu termasuk pembinaan Taman Perindustrian CMAS.

“Ia juga membuka jalan untuk perbincangan mengenai strategi, struktur usaha sama (JV), model perniagaan, tanggungjawab, pembiayaan dan potensi manfaat dalam pembangunan tanah MVV,” kata MCHB.

Jelas syarikat itu inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan perdagangan dua hala, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan meletakkan Malaysia sebagai hab logistik utama dalam rangkaian perdagangan global.

Selain itu, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian atau kajian kebolehlaksanaan bagi pembangunan yang dicadangkan dan mempertimbangkan pembentukan JV atau pakatan strategik melalui syarikat tujuan khas bagi melaksanakan pengambilan dan pembangunan tanah MVV serta Taman Perindustrian CMAS.

MCHB berkata kedua-dua pihak juga mungkin memeterai perjanjian JV atau pakatan strategik lain atau sebarang perjanjian lain yang dipersetujui bersama bagi memformalkan kerangka kerjasama mereka.

“MoU ini dijangka tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama, aset bersih, kadar hutang, pendapatan serta pendapatan sesaham MCHB dan anak-anak syarikatnya,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan