KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- LAC Med Bhd dibuka pada paras mendatar di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini menyamai harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 75 sen dengan kira-kira 5.8 juta saham diniagakan.
Penyenaraian ini disusuli permintaan yang kukuh dengan bahagian awam terlebih langganan sebanyak 12.64 kali termasuk 10.85 kali bagi peruntukan bumiputera dan 14.43 kali bagi pelabur bukan bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Liew Yoon Poh berkata syarikat itu teruja dengan pasaran sulungnya selain melihat pembukaan yang mendatar itu sebagai satu platform untuk membina nilai jangka panjang.
"Kami kekal positif mengenai prospek pada masa hadapan. Ini baru permulaan dengan banyak lagi yang akan datang dan kami teruja dengan peluang yang bakal muncul," katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
Liew berkata LAC Med melihat Indonesia sebagai pasaran utama seterusnya.
"Kami telah pun memulakan operasi di Indonesia dengan pengiktirafan perolehan bermula pada suku terakhir.
"Kami menjangka sumbangan perolehan sepenuhnya dari Indonesia pada 2026," katanya.
Beliau menambah pasaran tersebut akan dianggap sebagai tumpuan perniagaan yang berasingan yang melengkapi operasi syarikat di Malaysia.
"Margin di Indonesia dijangka sedikit lebih tinggi berbanding di Malaysia walaupun kos perniagaan meningkat," katanya.
Mengenai penguasaan pasaran, Liew berkata syarikat akan mengambil pendekatan konservatif pada peringkat awal dan menyasarkan penembusan yang sederhana sambil membina skala secara berperingkat.
"Kami mengambil langkah kecil selain menyasarkan penguasaan pasaran satu digit dalam tempoh satu hingga dua tahun pertama dan berkembang secara beransur-ansur dari situ. Melihat pada saiz pasaran Indonesia, walaupun bahagian pasaran satu digit pun ia sudah ketara," katanya.
Dalam tempoh dua tahun akan datang, beliau menjangkakan pendapatan akan dipacu oleh rangkaian produk yang lebih luas.
"Pertumbuhan akan disokong oleh beberapa faktor. Kami memperluaskan portfolio produk kami dari dua prinsipal kepada 11 dan dengan pengembangan di Indonesia, kami menjangkakan perniagaan dan pendapatan akan terus berkembang," katanya.
Syarikat memperuntukkan RM8 juta untuk pengembangan di Indonesia dengan tumpuan awal di Jakarta sebelum berkembang ke kawasan utama lain.
"Pada masa ini, operasi kami hanya di Jakarta. Dalam tahun-tahun akan datang, kami menyasarkan pejabat cawangan di Sumatera dan Kalimantan, tetapi kami tidak membuat keputusan secara terburu-buru.
"Kami sedang mengembangkan cawangan berdasarkan pencapaian penting yang bermaksud selepas sasaran dalaman tercapai, barulah kami akan mula membuka cawangan berkenaan," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial