EKONOMI > BERITA

SUMISAUJANA, COOLIST GROUP METERAI MOU BANGUNKAN POLIOL BERASASKAN BIO

10/12/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Sumisaujana Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, SumiSaujana TCM Chemicals Sdn Bhd (SSTCM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Zangjiagang CoolisT Life Technology Co Ltd (CoolisT Group).

Kerjasama itu bertujuan untuk kedua-dua pihak membangunkan dan mengkomersialkan poliol berasaskan bio yang diperoleh daripada minyak sayuran boleh baharu bagi kegunaan dalam busa poliuretana untuk produk perabot dan tempat tidur keluaran CoolisT Group.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kerjasama berkenaan bertujuan mempercepatkan penggunaan bahan kimia berasaskan bio mampan di peringkat global yang memenuhi piawaian alam sekitar dan prestasi antarabangsa.

Selain itu, MoU berkenaan menawarkan peluang untuk SumiSaujana meluaskan penawaran produk dan meningkatkan keupayaan teknikalnya.

 “Melalui kerjasama ini, SumiSaujana akan berpeluang untuk menghasilkan, mengeluarkan, memasarkan dan menjual produk poliol berasaskan bio di peringkat antarabangsa.

“MoU ini juga menandakan usaha berterusan SumiSaujana untuk meneroka peluang perniagaan baharu, meningkatkan nilai pemegang saham dan mengukuhkan kelebihan daya saingnya bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

MoU itu akan kekal berkuat kuasa selama dua tahun daripada tarikh pemeteraian, melainkan ditamatkan lebih awal selaras dengan terma-terma yang dipersetujui dalam MoU berkenaan.

MoU itu juga dijangka tidak akan memberi sebarang kesan material terhadap aset bersih dan tahap kadar hutang SumiSaujana dan anak syarikatnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana Norazlam Norbi berkata kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam strategi syarikat untuk berkembang melangkaui segmen bahan kimia khusus minyak dan gas kepada aplikasi industri mampan serta pertumbuhan tinggi.

“Dengan menggabungkan keupayaan teknikal SSTCM bersama kepakaran pembuatan dan akses pasaran antarabangsa CoolisT Group, kami meletakkan SumiSaujana di barisan hadapan untuk inovasi berasaskan bio dalam bahan poliuretana.

“Kerjasama ini bukan sahaja menyokong matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kemampanan kami, malah membuka ruang pertumbuhan baharu dalam ekonomi kitaran global,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan