EKONOMI > BERITA

BUDI MADANI RON95 DIJANGKA JANA PENJIMATAN, PERKUKUH BANTUAN SOSIAL BERSASAR -- MOF

10/10/2025 04:21 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka menjana penjimatan yang dapat disalurkan bagi memperkukuh bantuan sosial bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Langkah itu, kata Kementerian Kewangan (MOF), sekali gus dapat memastikan sumber fiskal dimanfaatkan secara lebih berkesan untuk golongan rentan.

Di bawah program BUDI95, warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah, layak membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter manakala bukan warganegara perlu membayar pada harga tanpa subsidi.

MOF menerusi laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan hari ini, berkata selain BUDI95, program rasionalisasi subsidi diesel dan inisiatif BUDI MADANI juga telah membuahkan hasil positif, termasuk dari segi pengurangan ketirisan, peningkatan kecekapan sumber dan penjimatan fiskal.

"Peralihan daripada subsidi pukal kepada rangka kerja bersasar membolehkan kerajaan menangani herotan ekonomi yang telah lama wujud, di samping melindungi kebajikan rakyat melalui Program BUDI MADANI dan BUDI95," katanya.

Pada masa sama, MOF berkata program subsidi bersasar dilancarkan kerajaan berjaya menjana penjimatan melebihi RM7 bilion sejak pelaksanaan pada Jun 2024 berbanding jangkaan awal penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion.

Menurut kementerian itu, peralihan kepada inisiatif itu turut memberi manfaat kewangan ketara kepada kerajaan dengan mengurangkan tekanan fiskal dan mewujudkan ruang untuk perbelanjaan pembangunan mengikut keutamaan.

"Rangka kerja dasar yang mantap, pendekatan sistematik dan komunikasi yang berkesan membolehkan kerajaan melaksanakan program rasionalisasi subsidi secara efektif demi memperkukuh kemampanan fiskal dan memperluas perlindungan sosial," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan