EKONOMI > BERITA

KUTIPAN HASIL KERAJAAN DIANGGAR BERJUMLAH RM343.1 BILION PADA 2026

10/10/2025 04:27 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid and Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kutipan hasil kerajaan dianggar berjumlah RM343.1 bilion pada 2026, didorong oleh peningkatan dalam cukai langsung dan tidak langsung.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF) dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan hari ini, anggaran itu didorong oleh pelaksanaan setahun penuh cukai jualan yang diperluas, peningkatan cukai perkhidmatan serta inisiatif pendigitalan berterusan.

Sementara itu, hasil bukan cukai diunjur berkurang kepada RM72.7 bilion terutamanya disebabkan oleh jangkaan pendapatan pelaburan yang lebih rendah.

Manakala jumlah perbelanjaan dianggar sebanyak  RM419.2 bilion atau 19.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Peruntukan perbelanjaan mengurus (OE) diunjur meningkat sederhana sebanyak RM338.2 bilion atau 15.9 peratus daripada KDNK berikutan peruntukan subsidi yang lebih rendah walaupun terdapat peningkatan dalam komponen OE yang lain.

“Sementara itu, peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) dinaikkan kepada RM81 bilion atau 3.8 peratus daripada KDNK bagi membiayai program dan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” kata kementerian itu.

Selain itu, pelaburan sumber secara bersama melalui entiti berkaitan kerajaan dan projek di bawah  Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030) akan menjadi pelengkap kepada agenda pembangunan negara.

Menurut MoF, secara keseluruhan, defisit fiskal diunjur mengecil kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2026 selaras dengan trajektori jangka masa sederhana berpandukan objektif fiskal di bawah Akta 850.

“Langkah konsolidasi secara berperingkat ini menunjukkan usaha kerajaan yang teguh dalam mengimbangi antara usaha menyokong pertumbuhan dengan mengekalkan disiplin fiskal.

“Sementara itu, defisit primer dijangka berkurang kepada 0.8 peratus daripada KDNK sekali gus menunjukkan komitmen konsolidasi fiskal yang berterusan,” katanya.

Bagi 2025, kerajaan menyasarkan defisit fiskal yang lebih rendah seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2025 iaitu 3.8 peratus daripada KDNK berbanding 4.1 peratus pada 2024, manakala kutipan hasil dianggar berjumlah RM334.1 bilion iaitu meningkat 2.9 peratus berbanding RM324.6 billion pada 2024.

Sementara itu, hasil berkaitan petroleum dijangka berjumlah RM56.6 bilion atau sekitar 17 peratus daripada jumlah hasil berikutan jangkaan harga komoditi yang lebih rendah pada 2025..

Menurut MoF, baki primer iaitu baki tidak termasuk bayaran khidmat hutang pada 2025 dijangka mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak 1.1 peratus daripada KDNK.

“Keperluan pinjaman kasar Kerajaan dijangka berkurang melalui sasaran defisit lebih rendah secara berterusan menyokong trajektori hutang yang lebih mampan dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, MoF berkata Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2026-2028 akan menyokong pelaksanaan RMK13 di samping mengekalkan trajektori konsolidasi fiskal.

“Andaian utama dalam MTFF termasuk purata pertumbuhan KDNK benar sebanyak 4.9 peratus dengan harga minyak mentah purata diunjur pada US$70 setong dan pengeluaran minyak mentah antara 450,000 hingga 500,000 tong sehari.

“Jumlah hasil bagi tempoh 2026-2028 diunjur pada RM1,072.2 bilion atau 15.7 peratus daripada KDNK disumbangkan oleh hasil bukan petroleum sebanyak RM943.1 bilion atau 13.8 peratus daripada KDNK yang meliputi 88 peratus daripada jumlah hasil,” kata kementerian itu.

Peningkatan itu dijangka disokong oleh kutipan cukai jualan dan perkhidmatan lebih baik, pematuhan cukai melalui pendigitalan serta cukai minimum global.

Manakala hasil berkaitan petroleum dianggar menyederhana kepada RM129.1 bilion atau 1.9 peratus daripada KDNK sejajar dengan usaha mempelbagaikan hasil.

“Siling indikatif untuk OE dianggar sebanyak RM1,045.9 bilion atau 15.4 peratus daripada KDNK manakala DE diunjur pada RM247 bilion atau 3.6 peratus daripada KDNK.

“Defisit fiskal purata dijangka berjumlah 3.2 peratus daripada KDNK dalam jangka masa sederhana yang mengukuhkan trajektori fiskal ke arah pencapaian sasaran defisit sebanyak tiga peratus pada 2028,” katanya.

Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memastikan pelarasan strategi fiskal seiring dengan keutamaan pembangunan jangka masa sederhana di bawah RMK13 di samping mengekalkan fleksibiliti untuk bertindak balas terhadap cabaran yang semakin meningkat, kata MoF.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan